Posted by: bankwahabi | Disember 20, 2009

Mengukuhkan perpaduan ummah berdasar tajdid biar secara disiplin

Oleh Muhammmad Uthman el- Muhammady

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20091212234130/Article/index_html

Pecah belah berlaku apabila timbul aliran bercanggah fahaman ramai, abai al-Quran

SELEPAS membuat beberapa pengamatan mengenai Wahabi berbanding Ahli Sunnah yang menyentuh akidah, hidup rohani dan ibadat, hukum dan akhlak dari segi kerangka tamadunnya, minggu ini saya menjurus kepada beberapa isu dan persoalan yang timbul.

Ia sebagai menjawab kepada respon yang diterima dan jawapannya dikemukakan secara ringkas untuk menjelaskan kedudukan sebenar.
Mungkin timbul persoalan iaitu mengapakah ditujukan perhatian kepada penelitian mengenai kelainan atau percanggahan Wahabi dengan Ahli Sunnah, walhal ada isu lain yang lebih penting daripada ini? Tidakkah ini memecahbelahkan umat dan melemahkannya dalam mendepani musuh antarabangsanya yang hendak menggagalkan Islam?

Tidakkah ini menyebabkan terbantutnya usaha hendak meningkatkan umat dalam pemikiran secara lebih intelektual dan ilmiah, bercanggah dengan kebebasan memberi pendapat dalam Islam, menghalang kelahiran intelektual ‘pembaharuan’ yang segar membawa nafas baru dalam pemikiran Islam dan bukan hanya mengunyah idea purba pada zaman globalisasi dan teknologi canggih kini? Paling menarik, tidakkah ini menyekat kebebasan akademik yang disanjung itu?

Inilah antara persoalan dan isu yang dibangkitkan. Pertama, kalau dikatakan ada isu lain yang harus diutamakan, maka boleh diingatkan bahawa isu akidah dan kefahaman mengenai Tuhan dan akidah yang berkaitan adalah isu utama Islam. Maka kekeliruan di dalamnya wajib ditangani, bukan boleh dibiarkan sebab ia menyentuh perkara hakiki, abadi, dan menyentuh kebahagiaan atau kecelakaan abadi.

Tidak ada isu peradaban yang lebih penting lagi daripada ini. Alam dijadikan mengikut kitab suci al-Quran supaya manusia mencapai keabsahan faham mengenai perkara ini seperti yang ada dalam ayat yang bermaksud: “Ia, itulah (Allah SWT) yang menjadikan tujuh lapis langit dan bumi, demikian juga turun perintah antara semua itu supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Ia meliputi segala-galanya dengan ilmu-Nya”. (al-Talaq:12). Maka apabila dikelirukan manusia dalam perkara ini, wajiblah ia diperbetulkan. Selepas itu timbul perkara lain yang perlu dihadapi.

Kedua, kalau dikatakan itu memecahbelahkan umat, perlu diingatkan bahawa manusia mesti diajak supaya tidak berpecah belah dalam akidah dan pegangan arus perdana Islam.

Pecah belah itu berlaku apabila timbul aliran yang diikuti bercanggah dengan arus perdana umat; maka kewajipan bagi semua pihak – apa lagi ulil amri dan ulama supaya mengajak manusia kembali kepada ‘tali Allah’ tempat pergantungan yang teguh itu. Itulah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tidak sejahtera akal yang mengatakan kerja mengajak manusia kepada arus perdana menyebabkan pecah belah, sedangkan ia adalah tugas menyelesaikan pecah belah itu. Perkara yang patut dilarang ialah mereka yang mengalihkan orang ramai itu, itulah yang melakukan pecah belah itu.

Ketiganya, kalau dikatakan itu melemahkan umat untuk mendepani musuh yang sentiasa menanti kealpaan kita, maka jawapannya ialah kerja yang dilakukan oleh pihak yang mengalihkan umat daripada Ahli Sunnah itulah kerja melemahkan umat.

Pengalihan ini membawa perpecahan dalam pemikiran dan amalan (tanpa keperluan intelektual), maka kerja mengembalikan manusia kepada arus perdana itu kerja membawa kembali kekuatan, bukan melemahkan. Bahkan untuk mengembalikan kekuatan dan perpaduan, panduan arus perdana itu mesti diperkasakan. Jelas ini terbukti dalam sejarah dan juga dalam huraian dan ajaran, teori dan praktiknya.

Keempat, kalaulah difikirkan bahawa kerja mengadakan aturan dan sekatan pengembangan dakwah yang bebas itu adalah kerja yang membantut usaha mengangkat martabat intelektual umat, maka ini boleh dikemukakan pendirian bahawa aturan dan kawalan itu diadakan untuk menghalang pengembangan aliran pemikiran yang menyimpang daripada arus perdana Islam, bukannya untuk menyekat perkembangan intelektual yang asli dan murni. Sebabnya, mereka yang benar-benar intelektual diajak dan dialu-alukan untuk membentangkan pemikiran mereka dalam wacana ilmiah yang terkawal, diikuti dan disertai pakar dalam bidang yang berkenaan.

Selepas perbincangan mendalam, keputusan diambil sesuai dengan ayat yang bermaksud: “Maka bermesyuaratlah dengan mereka, kemudian selepas kamu membuat keputusan bertawakal kepada Allah.” � (Ali ‘Imran:159) dan ayat yang bermaksud: “Bertanyalah kepada ahli ilmu kalau kamu tidak mengetahui.” � (al-Nahl:43) dan ayat yang bermaksud: “Kalaulah mereka menyerahkan perkara itu kepada Rasul dan ulil amri, maka akan diketahui ahli istibnat (yang boleh memberi keputusan yang tepat mengenai sesuatu) mengenai perkara itu (lalu langkah yang patut dilaksanakan)”. � (Surah al-Nisa: 82). Ini bermakna perkembangan intelektual berlaku dalam suasana akademik dan ilmiah yang sejahtera dan terbuka tanpa mengganggu orang awam dengan kenyataan sensasi yang tidak menyelesaikan isu, bahkan yang menambahkan lagi persoalan yang mengganggu orang awam dan masyarakat.

Kelima, kalau timbul pula anggapan bahawa langkah sedemikian menghalang kebebasan berfikir yang disanjung Islam, maka jawabnya ialah bahawa kebebasan berfikir dalam Islam dilihat dari beberapa segi iaitu, kalau berhubungan dengan orang awam, mereka hendaklah didedahkan kepada perkara pokok dan maklumat yang membantu mereka dalam kehidupan beragama dan menjalani kehidupan dan kerjaya mereka. Mereka jangan diganggu dengan perkara kontroversi yang menyusah-kan dengan cara yang tidak diperlukan.

Maka ada disiplin dan adab yang mesti diamalkan dalam hubungan dengan orang awam. Dalam hubungan dengan pakar dalam Islam, ahli ilmu digalakkan membuat penyelidikan dan membentangkannya kepada pakar dalam pertemuan ilmiah atau tulisan khusus untuk telahan pakar. Di situ pene-muan baru yang benar-benar teruji manfaatnya didapati berfaedah dan berguna dan kemudian disebarkan. Perkara yang dilarang al-Quran, Sunnah dan ijmak dalam Islam hendaklah dijauhi. Ini bermakna, kebebasan pemikiran dan pengembangan pendapat berlaku dalam disiplin yang membahagiakan.

Keenam, kalau disangkakan bahawa golongan Ahli Sunnah mengunyah idea purba dan tanpa yang baru, jawapannya ialah Ahli Sunnah berpegang kepada kerangka ilmu dan penafsirannya berdasarkan kepada Hikmah Ilahiah, hikmah nubuwwah, dengan kematangan akal manusiawi yang unggul dalam ‘khaira ummatin’, yang terjamin keabsahannya oleh Tuhan dan Rasul serta ijmak.

Dalam kerangka ini, akal manusia boleh menerokai ke mana-mana, seluas dan sedalam mana atau setinggi manapun. Inilah golongan yang paling setia dalam seluruh semesta alam kepada wacana arus perdana umatnya, dan inilah yang menjamin kebenaran, keseragaman intelektual dan rohani, yang menstabilkan, utuh dan menjadi asas teguh bagi tamadun anak Adam. Ini perlu dipertahankan dan mereka yang berakal sejahtera mempertahankannya. Dalam kerangka ini, sila lahirkan ‘pembaharu’ tajdid yang asli bukan saduran, bukan selebriti, tetapi seperti yang disebut oleh Said Halim Pasha pada 1927: ‘Deep hearted men, intellectuals, men of action’ (manusia berkeyakinan tinggi dan mendalam, intelektual, ilmuwan yang beramal secara praktikal (bukan hanya mengelamun dalam panduan wacana arus perdana Islam).

Wacana ini apabila difahami sesungguhnya dengan kemahiran mendalam atau malakah, kata ibn Khaldun, dengan izin Ilahi, akan memandu kita dalam mengharungi globalisasi dengan jayanya. Amin. Wallahualam.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: