Posted by: bankwahabi | Mei 19, 2008

Apa Kata Ulama Kita Mengenai Wahabi – 1 & 2

Apa Kata Ulama Kita Mengenai Wahabi – 1

Al-Marhum Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Abdullah Fahim. Tokoh ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Seorang ulama tersohor. Perhatikan apa yang beliau katakan.


بسم الله الرحمن الرحيم. الحمدلله والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه . اما بعد


Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma’an. Tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie (يحرم خرق الاجماع).

Ambil mereka itu hukum-hukum feqah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah al-Tullab, dan Matla’ al-Badrain dan lainnya. Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy’ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu. Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya’ Ulumiddin dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Sair as-Salikin. Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla’, diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.’


[Dirumikan dari tulisan tangan Tuan Guru Hj Abdullah Fahim yang disiarkan di dalam buku Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 39]


Antara pesanan al-Marhum Tuan Guru lagi:

“(Nasihat) supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab empat mazhab ahli al-Sunnah wal Jamaah [yang beliau maksudkan adalah golongan kaum muda @ Wahabi][1]. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang sejati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu……. hukum-hukum mereka itu diambil dari kitab Huda al-Rasul yang mukhasar daripada kitab Huda al-‘Ibad dikarang akan dia oleh Ibnu Qayyim al-Khariji, maka Ibnu al-Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama’ ahl as-Sunnah wa al-Jamaah

Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri ……


Bahkan pesanan beliau lebih keras lagi:


“Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu, maka bunuhlah akan dia …….”

[Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 37 dan 38]



Notakaki:

Menurut Sayyid Muhammad Amin ibn Sayyid Umar ibn Sayyid ‘Abdul al-‘Aziz ibn Sayyid Ahmad ibn Sayyid ‘Abdurrahim ibn Sayyid Najmuddīn ibn Sayyid Muhammad Shalahuddīn atau lebih dikenali sebagai ‘ Imam Ibn ‘Abidin asy-Syami [wafat 1252H/1836M] menyebut didalam kitabnya Raddul Muhtar ‘ala ad-Durrul Mukhtar:


Bab: Berkenaan Pengikut-pengikut [Muhammad] Ibn Abdul Wahhab, Golongan Khawarij Dalam Zaman Kita.

…sepertimana yang berlaku pada masa kita ini pada pengikut [Muhammad] Ibn Abdul Wahhab yang keluar dari Najd dan menakluki al-Haramayn (Mekah dan Madinah) dan mereka bermazhab dengan mazhab al-Hanbali tetapi mereka ber’iktikad bahawa hanya mereka sahajalah orang Islam dan orang-orang yang bertentangan akidah dengan mereka adalah kaum Musyrik. Dengan ini mereka pun menghalalkan pembunuhan Ahli Sunnah dan pembunuhan ulama’-ulama’ mereka sehingga Allah SWT mematahkan kekuatan mereka dan memusnahkan negeri mereka dan askar Muslim berjaya menawan mereka pada tahun 1233 H.

[Terjemahan ini dan gambar kitab dan helaiannya berkenaan diambil dari blog al-ashairah]

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Apa Kata Ulama Kita Mengenai Wahabi – 2

Al-Marhum Tuan Guru Haji Muhammad bin Haji Wan Idris Bermin al-Fathani atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Bermin (1290H/1873M – Khamis 29 Zulkaedah 1376H/27 Jun 1957M). Beliau merupakan shahabat kepada Tok Kenali dan Tok Kelaba.

Di dalam sebuah manuskrip tulisan tangan Tok Bermin yang dimiliki oleh al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir, dimana didalam kitab tersebut Tok Bermin meriwayatkan peristiwa kedatangan dua orang dari Minangkabau ke Legor menyebarkan ajaran Kaum Muda [Wahabi]. Mukadimah tulisan Tok Bermin adalah sebagai berikut:

Dan adalah pada hari Sabtu, 26 Syawal, dan hari Isnin, 28 Syawal juga, pada tahun [atau] sanah 1347 [Hijrah], perhamba al-Haji Wan Muhammad Bermin, Jambu, periksa dan tanya akan ‘Abdullah dan Burhan orang Minangkabau. Yang keduanya [itu adalah] setengah daripada Kaum Muda [Wahabi] yang duduk berjalan menyesatkan orang-orang. Di dalam negeri Legor diperiksa di dalam Masjid al-Haji Mat, Kampung Baru. Dan di dalam Masjid al-Haji Mahmud di hadapan Imam Shiddiq, dan Penghulu Hamzah, dan al-Haji Mat sendiri dan al-Haji Mahmud, dan beberapa banyak daripada manusia.


[Tarikh kejadian yang disebut oleh Tok Bermin iaitu 26 dan 28 Syawal 1347H itu adalah bersamaan dengan 6 dan 8 April 1929M. Memperhatikan tarikh ini bererti masih dalam lingkungan tahun-tahun yang sama dengan pertentangan Kaum Tua dan Kaum Muda di Sumatera. Tok Bermin lahir pada tahun 1290H/1873M, bererti dia lebih tua sekitar enam tahun daripada Syeikh Abdul Karim Amrullah, pelopor Kaum Muda di Minangkabau yang lahir pada 1296H/ 1879M. Kemungkinan Abdullah dan Burhan yang berasal dari Minangkabau yang disebut oleh Tok Bermin pada petikan di atas adalah termasuk murid Syeikh Abdul Karim Amrullah. Tidak dapat dinafikan bahawa Tok Bermin dan Syeikh Abdul Karim Amrullah telah kenal sejak di Mekah kerana kedua-duanya adalah belajar dengan para ulama Mekah yang sama.]

Selanjutnya Tok Bermin menulis:

Maka telah nyata bahawasanya ‘Abdullah dan Burhan bukan daripada orang yang mengikut Imam Syafie. Bahkan bukan daripada mazhab yang empat. Dan keduanya bawa bercakap dengan kitab bagi Imam Syafie itu kerana menipu dan supaya menyangka orang yang mendengar akan kedua-duanya itu orang yang mengikut Syafie, padahal bukan Syafie.Dan jika tiada keduanya bawa bercakap-cakap dengan ‘Kitab Umm’ itu, nescaya tiada seorang pun mengikut akan keduanya daripada permulaan masuk Abdullah dan Burhan ke dalam negeri Legor.


Tulis Tok Bermin selanjutnya:

Dan sebab keluar keduanya dari mazhab itu, kerana menafi oleh keduanya akan ijmak dan qiyas. Dan keduanya ikut nas al-Quran dan hadits sahaja. Dan padahal ijmak dan qias itu, keduanya adalah setengah daripada dalil-dalil yang buat menghukum ‘ulama’ dengan dia.

Tok Bermin membahaskan perkara tersebut dengan panjang lebar dan mendalam menggunakan hujah-hujah yang mantap ditinjau daripada pelbagai ilmu sebagaimana yang digunakan oleh jumhur ulama. Oleh sebab Tok Bermin memang pakar dalam banyak bidang ilmu, terutama ilmu alat, iaitu nahu dan sharaf. Abdullah dan Burhan kurang mengetahui tentang kedua-dua ilmu itu terpaksa diam saja.

[Tulisan ini adalah merupakan petikan dari tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Wan Abdullah didalam akhbar Utusan Malaysia, ruangan Ulama Nusantara, Tok Bermin al-Fathani. Semoga Allah melimpahkan rahmatNYA kepada kedua orang ulama’ ini.]

Jelas Tok Burmin menolak fahaman kaum muda atau Wahabi ini. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita tolak fatwa ulama-ulama kita yang dahulu-dahulu yang terkenal dengan ke’aliman dan ketaqwaannya.

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………

http://al-fanshuri.blogspot.com/

http://al-ashairah.blogspot.com/


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: