Posted by: bankwahabi | Mei 6, 2008

Penjelasan:Nama Junjungan s.a.w.

http://bahrusshofa.blogspot.com/

Tiadalah menjadi apa-apa kesalahan untuk kita menghiasi rumah-rumah kita, masjid-masjid kita, tempat-tempat kita dengan tulisan khat nama Junjungan Nabi s.a.w. Perkara ini sebenarnya telah lama dilakukan oleh umat ini tanpa ada kritikan dan tentangan, sehingga dua masjid yang mulia turut dihiasi dengan nama Junjungan Nabi s.a.w. di samping nama Allah yang Maha Agung. Sebenarnya bukan sahaja alam syahadah kita ini yang dihiasi dengan nama Junjungan s.a.w., bahkan disebutkan dalam sesetengah riwayat yang menyatakan bahawa alam malakut yang tertinggi turut dihiasi Allah dengan nama kekasihNya, Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Inilah antara keistimewaan anugerah Allah buat Junjungan Nabi s.a.w. Dan inilah antara manifestasi firman Allah s.w.t. tentang baginda dalam surah al-Insyirah ayat 4 yang berbunyi:-

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ

“Dan Kami telah meninggikan bagimu sebutan namamu.”

Atas keistimewaan inilah maka Allah telah menyiar serta menyebarkan sebutan nama Junjungan Nabi s.a.w. ke seluruh pelosok alam malakut yang tertinggi. Imam Ibnu ‘Asaakir meriwayatkan bahawa Ka`ab al-Ahbaar berkata:-

Bahawasanya Allah telah menurunkan kepada Nabi Adam a.s. tongkat-tongkat menurut jumlah para nabi dan rasul. Kepada anaknya, Nabi Syits a.s., Nabi Adam a.s. berpesan: ” Anakku engkaulah penggantiku, maka ambillah segala tongkat ini dengan penuh ketakwaan dan pegangan yang kukuh. Setiap kali engkau berzikir menyebut dan mengingati Allah, maka sebut dan ingatlah bersamaNya akan nama Muhammad. Sesungguhnya aku telah melihat namanya tertulis di kaki arsy sedangkan aku waktu itu berada antara roh dan tanah. Kemudian aku dibawa berkeliling ke segala pelosok langit, maka tiada aku lihat satu tempat pun melainkan tertulis padanya nama Muhammad. Dan telah aku lihat nama Muhammad tertulis atas dada para bidadari, atas dedaunan syurga, atas daun-daun pokok Thuba, atas daun Sidratul Muntaha, atas segala hijab dan antara mata para malaikat, maka perbanyakkanlah menyebut mengingatinya kerana bahawasanya para malaikat menyebut mengingatinya pada setiap masa.

Almarhum Dr. Habib Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki rhm. dalam “Mafahim” setelah mengemukakan riwayat di atas menyatakan bahawa Ibnu Taimiyyah turut meriwayatkan apa yang selari dengan riwayat Imam Ibnu ‘Asaakir tersebut. Ibnu Taimiyyah menyatakan dalam himpunan fatwanya:-

Dan telah diriwayatkan bahawasanya Allah telah menulis nama Junjungan Nabi Muhammad pada arsy, pada segala isi syurga, baik pintu-pintunya, kubah-kubahnya dan segala dedaunnya. Berhubung masalah ini, ada berbilang atsar yang selari dengan hadits-hadits yang tsabit pada menjelaskan keagungan nama Junjungan Nabi s.a.w. dan ketinggian sebutannya.

Pada riwayat Ibnul Jawzi daripada Maisarah di mana dia berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah, bilakah engkau menjadi nabi?” Baginda menjawab: ” Setelah Allah menciptakan bumi, Dia berpaling kepada langit lalu mencipta 7 petala langit dan menciptakan arsy serta menulis di kakinya “Muhammad adalah utusan Allah, penutup para nabi”. Allah menciptakan syurga yang dihuni oleh Nabi Adam dan Siti Hawa, lalu dituliskan namaku atas segala pintu, dedaun, kubah dan khemahnya sedangkan Nabi Adam ketika itu berada antara roh dan jasad. Tatkala baginda dihidupkan Allah ta`ala, baginda telah memandang ke arsy dan melihat namaku, maka Allah telah memberitahu baginda bahawa yang empunya nama tersebut (yakni Junjungan Nabi s.a.w.) adalah pemimpin anak cucunya. Tatkala mereka berdua diperdaya oleh syaithan, mereka berdua telah bertaubat dan memohon syafaat dengan namaku kepada Allah.

Allahu … Allah, jika sahaja Allah menghiaskan syurgaNya dengan nama Junjungan Nabi s.a.w., maka di mana salahnya jika umat Muhammad menghiasi kediaman mereka dengan nama baginda yang mulia. Sejuklah segala mata yang memandang keindahan khat nama Junjungan serta terlancar di lidah si pemandang akan ucapan sholawat dan salam buat baginda. Qadhi ‘Iyadh al-Yahsubi dalam “Syifa`” menukilkan satu riwayat daripada Ibnu al-Qaasim dan Ibnu Wahb daripada Maalik yang menyatakan:-

سمعت اهل مكة يقولون ما من بيت فيه اسم محمد
إلا نمى و رزقوا و رزق جيرانهم

Aku telah mendengar penduduk Makkah (yakni sebahagian ulamanya) berkata: “Tidak ada satu rumah yang padanya ada nama Muhammad melainkan akan bertambah keberkatan dan pemberian rezeki ahli-ahli rumah tersebut serta jiran-jiran mereka.”

Mudah-mudahan sahaja apa yang tersebut di atas tetap atas keumuman lafaznya yang merangkumi bukan sahaja penghuni rumah yang namanya Muhammad tetapi juga akan khat nama Junjungan s.a.w. yang berada di rumah tersebut.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: