Posted by: bankwahabi | April 16, 2008

Bagaimana Anda Boleh Menjadi Seorang Salafi Moden?

Fahaman Salafiyyah Moden merupakan suatu reka bentuk baru dalam erti kata lain ia adalah suatu ‘model terkini’ bertujuan untuk menyerlahkan cara beragama moden di samping menyumbang ke arah pelampauan serta seruan kepada sikap fanatik dengan mendakwa bahawa hanya fahaman ini sahaja yang layak berkhidmat untuk Islam. Fahaman Salafiyyah Moden boleh dirumuskan menerusi beberapa prinsip asasnya seperti berikut:

1) Anda hendaklah ber”i’tiqad” bahawa hanya anda sahaja (tiada sekutu bagi anda) yang berada di atas kebenaran manakala orang lain yang tidak sependapat dengan anda adalah pembawa kebatilan dan salah bahkan murtad serta halal maruah, darah dan hartanya! Walaupun orang itu dikurniakan ilmu seperti ilmu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam, ibadah Nabi Musa ‘alaihissalam, zuhud Nabi ‘Isa ‘alaihissalam, cinta Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, sabar Nabi Ayub ‘alaihissalam dan jihad Nabi Nuh ‘alaihissalam khususnya jika orang itu adalah pemerintah, alim ulama’ silam dan imam mujtahid yang tersohor.

2) Anda hendaklah ber”i’tiqad” bahawa tiada seorang pun yang akan memasuki Syurga selain anda dan kroni-kroni anda. Kaum muslimin yang tidak sependapat dengan anda adalah seperti orang-orang kafir dan musyrik yang menjadi bahan bakar api neraka walaupun mereka adalah orang-orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah Ta’ala daripada golongan Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin.

3) Anda hendaklah merendah-rendahkan orang yang berlainan pendapat dengan anda. Tanamkan perasaan dendam terhadapnya di samping berusaha untuk menjatuh dan melenyapkannya sama ada dengan ucapan dan tindakan. Sama ada melalui cara yang harus ataupun tidak. Anda hendaklah menjadikan cercaan dan cacian terhadapnya sebagai satu ibadah daripada ibadah-ibadah harian anda tanpa henti dan jemu. Di dalam penulisan, pengajian dan ketika berkhutbah di atas mimbar!!

4) Anda hendaklah ber”i’tiqad” bahawa alam semesta ini bersifat azali yang wujud bersama-sama Allah Ta’ala. Anda mesti ber”i’tiqad” bahawa Allah Ta’ala bersemayam di atas ‘Arasy dengan Zat-Nya, Dia turun, naik, datang, ketawa, murka dan pergi. Dia memiliki mata, tangan dan kaki. Jika seseorang menghulurkan tali ke dasar bumi, pasti tali itu akan sampai ke tangan-Nya tanpa sebarang pentakwilan.

5) Anda hendaklah ber”i’tiqad” bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah manusia biasa seperti manusia-manusia yang lain. Baginda lahir sepertimana Syam’un dan Petrus lahir. Baginda meninggal dunia sepertimana Ghandi dan Galium meninggal dunia. Baginda tidak memiliki sebarang mukjizat selain al Quran. Sesiapa yang cuba menyandarkan sebarang mukjizat dan keistimewaan-keistimewaan lain kepada Baginda, maka orang itu adalah menyeleweng dan bodoh! Walaupun orang itu adalah Imam al Bukhari dan Imam Muslim. Setelah itu anda mesti ucapkan begini: Sesungguhnya ayahanda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam, bonda, nenda dan pamannya berada di dalam neraka!!

6) Anda hendaklah ber”i’tiqad” bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam hanya maksum dalam beberapa patah perkataan yang tertentu saja. Selain itu, Baginda boleh tersilap dan berterusan melakukan kesilapan. Kerana itu Baginda sering bertaubat kerana kesalahannya itu. Keistimewaan yang Baginda miliki hanyalah watak seperti seorang “posmen” yang membawa al Quran sebagai “surat” yang mana Baginda melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan amanah. Sebarang tindakan yang menjurus ke arah memuliakan, menghormati dan memuji-muji Baginda adalah suatu tindakan yang syirik!

7) Apabila anda menuju ke Madinah al Munawwarah, jangan sekali-kali anda fikirkan untuk menziarahi pusara Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Tetapi anda mesti niatkan untuk melawat batu-batu Masjid Nabawi kerana itu sebenarnya yang dituntut syara’. Ini untuk mengelakkan anda daripada menjadi penyembah berhala disebabkan keterlaluan mencintai Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam atau berbicara dengan roh Baginda (mana mungkin berbicara dengan orang yang telah mati)!!

8) Anda mesti menyebut-nyebut tindakan para sahabat “yang bodoh” dan para tabi’in yang “tolol” yang telah memasukkan pusara Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ke dalam Masjid Nabawi. Mereka mesti dilaknat kerana menyebabkan sembahyang di Masjid Nabawi diragui kesahihannya. Orang Salafi merasa sembahyang mereka tidak sah. Segala ibadah dan doa berjuta-juta orang Islam yang sembahyang di situ tidak diterima oleh Allah Ta’ala disebabkan kewujudan pusara Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam Masjid Nabawi!

9) Jika anda menyebut nama Imam Husain bin Imam Ali dan Sayyidah Fatimah radhiyyallahu ‘anhum, maka anda mesti berkata begini: Beliau dibunuh dengan cara yang adil. Beliau bukan syahid kerana beliau keluar memberontak menentang pemerintah yang sah, Yazid bin Mu’awiyah. Maka beliau dan golongan yang bersamanya memang layak dibunuh. Walaupun sekiranya Yazid adalah seorang pemerintah yang jahat dan fasiq sekalipun, maka ini bukan urusan Husain dan ahli keluarganya untuk masuk campur. Oh ya, jangan lupa perbanyakkan cercaan dan celaan ke atas Husain dan ahli keluarganya, anda pasti akan masuk Syurga.

10) Jika disebut tentang ziarah pusara Imam Husain radhiyyallahu ‘anhu, maka anda mesti katakan begini: Sebenarnya kepala yang ditanam di dalam pusara ini adalah milik seorang Yahudi sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Taimiyyah. Kepala Husain pula entah ke mana. Ianya tiada di Mesir. Pusara Husain yang ada sekarang adalah sebuah berhala yang najis. Ia sepatutnya dirobohkan dan kubahnya perlu diratakan sepertimana golongan salaf memperlakukan berhala Laata dan ‘Uzza.

11) Katakan begini juga sekiranya disebut mengenai pusara Ahli Bait yang lain, baik lelaki mahupun wanita. Jangan lupa masukkan sekali pusara para imam yang tersohor seperti al Syafi’i, al Laith bin Sa’ad, al Sya’rani, al Badawi, al Dusuqi, al Hanafi, al Syazuli, al Mursi, al Rifai’i dan yang seangkatan dengan mereka. Katakan bahawa pusara-pusara mereka ini adalah berhala. Orang-orang yang menziarahi mereka adalah paganis. Penyembah lembu lebih baik lagi. Anda sebenarnya mampu untuk mencapai darjat mereka walaupun dengan sedikit amalan bahkan lebih hebat lagi!

12) Anda hendaklah menunjukkan penentangan terhadap mazhab-mazhab ahli Sunnah wal Jama’ah bermula dengan mazhab yang empat (Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hambali) diikuti mazhab-mazhab sebelum dan sesudahnya. Jangan mengiktiraf mazhab-mazhab ini kecuali mazhab Ibnu Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahhab serta golongan yang mempromosikan mazhab mereka berdua yang terdiri daripada penyembah-penyembah dolar dan dinar. Anda mesti katakan: Para Imam yang empat berserta orang-orang yang mengikut mereka adalah penjenayah yang telah memecah-belahkan ummah. Mereka telah memalingkan orang ramai daripada Sunnah dan Hadith kepada permasalahan-permasalahan fiqh yang merapu. Kita tidak perlukan ijtihad mereka dan tidak perlu mengikut jejak langkah mereka. Setiap muslim perlu berusaha untuk mencapai syarat-syarat ijtihad sebelum memasuki arena pekerjaan sehingga dia mampu untuk mengistinbat hukum-hakam daripada al Quran dan Sunnah secara langsung. Tanpa mengira latar belakang pendidikannya atau tahap penguasaannya terhadap ilmu bahasa Arab dan agama. Tak kira sama ada dia tinggal di kawasan hutan belantara, pedalaman atau dia adalah seorang graduan al Azhar al Syarif.

13) Sebelum itu, anda perlu ber”i’tiqad” bahawa membiarkan janggut tanpa dipotong adalah rukun Islam keenam yang dilupai oleh para periwayat hadith sehingga mereka mengatakan bahawa rukun Islam itu ada lima sedangkan yang sebenarnya ada enam. Anda perlu ucapkan begini: Para imam mazhab telah melakukan komplot untuk memusnahkan Islam. Kerana itu mereka tidak menjadikan hukum memanjangkan janggut sebagai syarat sah Islam, Iman, dan Ihsan. Mereka juga tidak mengatakan bahawa tidak memanjangkan janggut itu boleh merosakkan sembahyang, puasa, zakat dan haji. Mereka juga tidak berpendapat bahawa tidak memanjangkan janggut adalah murtad serta orang yang mencukur janggutnya tidak boleh dipanggil sebagai muslim tak kira apa bentuk sekalipun tanpa sebarang pentakwilan dan tanpa perlukan apa-apa dalil walaupun dia bersembahyang, berpuasa, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan berpegang dengan hukum-hakam syara’. Orang yang mencukur janggutnya wajib mendapat hukuman murtad dan perlu diperangi.

14) Tunjukkan penentangan dengan setiap kekasaran bahkan dengan segala kejelikan terhadap semua upacara sambutan kaum muslimin dan tradisi mereka walaupun ianya mempunyai sandaran daripada nas. Tuduh setiap orang yang menyertai upacara-upacara tersebut sama ada orang alim mahupun orang awam sebagai musyrik, kafir, fasiq, pembuat maksiat, murtad dan jahil terhadap ajaran Islam. Anda mesti berterusan menimbulkan keraguan dan kekeliruan di antara sunnah adat dan sunnah ibadah. Bersikap lain daripada yang lain dalam semua perkara supaya anda boleh menarik perhatian orang ramai dan asingkan diri anda daripada masyarakat dengan perkataan dan perbuatan.

15) Gembeling segenap tenaga anda untuk memusnahkan setiap binaan sufi sama ada dari dasarnya atau dari dalam, yang baik atau buruk. Jadikan usaha itu sebagai matlamat anda yang awal dan akhir, dekat dan jauh. Jangan terima sebarang hujah dalam perkara ini walaupun daripada imam anda sendiri Ibnu Taimiyyah. Lupakan apa yang telah terjadi di negara-negara Islam lain yang berupa perpecahan, kemusnahan, perselisihan, peperangan, ancaman musuh, gerakan Kristianisasi, “free-thinker”, fahaman atheis, komunisme, keruntuhan akhlak dan kemerosotan akidah berpunca daripada anasir-anasir yang ditonjolkan oleh media massa. Begitu juga lupakan saja strategi yang dirangka oleh puak tentera Salib, Yahudi dan Marxisme untuk menguasai Islam menerusi pelbagai cara di setiap negara yang didiami oleh orang Islam. Itu semua perkara yang sangat enteng jika hendak dibandingkan dengan kewajipan menghapuskan tasawuf dan binaannya sama ada melalui galakan dan pujukan atau ancaman dan penyiksaan!

16) Jangan sekali-kali anda mengiktiraf bangsa bukan Arab yang berada di dunia Islam ini walaupun Islam menentang sebarang fahaman nasionalisme. Anda mesti katakan begini: Bangsa Turki, Kurdish, Rom, Parsi dan sesiapa sahaja yang masuk Islam selain daripada bangsa Arab, mereka sebenarnya masuk Islam dengan semangat nasionalisme bertujuan untuk memusnahkan Islam dari dalam dengan apa cara sekalipun. Setiap kebanggaan yang disandarkan kepada Islam disebabkan sumbangan golongan bukan Arab adalah suatu dongengan belaka. Sumbangan-sumbangan yang mereka lakukan semuanya mempunyai muslihat tersembunyi yang berbahaya yang hanya boleh difahami oleh golongan Salafiyyah sahaja. Golongan bukan Arab telah memasukkan unsur-unsur yang tidak sepatutnya berupa perkataan dan perbuatan ke dalam Islam yang menyebabkannya menjadi sempit dan mempunyai kontradiksi sehingga bangsa Arab sendiri ditimpa dengan bencana dolar dan dinar.

17) Apabila golongan bukan Arab berhujah dengan Imam al Bukhari, Imam Abu Hanifah, Sayyid al Jurjani, Imam al Ghazali dan ratusan lagi ulama’ yang bukan berbangsa Arab dalam pelbagai bidang ilmu, begitu juga dengan Sultan Solahuddin al Ayyubi al Kurdi, Sultan Qutuz, Sultan Baybers, Sultan Barsebai al Mamluki dan Sultan Muhammad al Fateh maka anda katakan begini: Itu semua hanya kebetulan atau ia hanyalah tabir yang sengaja dilabuhkan untuk menutup perkara yang tidak diketahui atau cuba anda cari satu dua kesilapan yang pernah mereka lakukan supaya dengannya anda boleh mempertikaikan jasa-jasa mereka. Apabila dia mengaku dan berkata: Bukankah Allah Ta’ala menyatakan bahawa kebaikan itu boleh menghapuskan kejahatan? Maka katakan begini: Kaedah ini hanya digunapakai untuk bangsa Arab sahaja bukan untuk selain Arab. Bangsa Arab saja yang berhak dengan kaedah ini walaupun mereka melakukan perbuatan yang tidak mampu dilakukan oleh syaitan!!

18) Katakan tanpa perasaan malu mengenai setiap hadith yang tidak menyokong pandangan anda bahawa ia adalah dho’if (lemah) atau maudhu’ (palsu). Jadikan setiap sunnah adat sebagai sunnah ibadah atau sebaliknya tanpa menghiraukan sebarang usul (dasar syara’) juga kaedah syara’. Yang penting adalah pandangan anda sahaja. Pandangan peribadi adalah neraca syara’ yang digunapakai oleh golongan Salafiyyah moden.

19) Jangan bertawassul kepada Allah Ta’ala dengan salah seorang daripada golongan yang soleh sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Begitu juga jangan bertawassul dengan Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ucapkan begini: Ini adalah fahaman paganisme sebenar dan syirik walaupun berdalil, bersyarat dan mempunyai perinciannya yang tersendiri. Kita tidak membezakan antara yang dijadikan sebab tawassul (Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam & para wali) dengan yang dipinta daripada-Nya (Allah Ta’ala). Jika anda merasa kalah dengan dalil yang dikemukakan, maka putar belitkan fakta. Yang penting, keluarkan semua kaum muslimin daripada agama Islam hanya dengan alasan tawassul.

20) Jangan berimamkan orang yang bukan kroni anda walau setinggi manapun agama, ilmu, kelebihan dan senioritinya dalam dakwah Islam. Awas! Jangan sekali-kali anda berimamkan orang yang mencukur janggutnya dan orang yang berfahaman sufi.

21) Jangan memasuki masjid yang bukan milik golongan anda. Anda mesti katakan bahawa masjid-masjid yang lain adalah gereja dan saumaah (tempat ibadah Yahudi) atau hampir-hampir menjadi gereja dan saumaah lebih-lebih lagi jika masjid itu mempunyai mihrab, mimbar yang tinggi atau pusara!!

22) Jangan berinteraksi dengan golongan yang bukan daripada puak anda bahkan perkecilkan mereka dan jangan biarkan sebarang kebaikan sampai kepada mereka. Ingat! Orang yang bukan dari kalangan anda adalah pembuat bida’ah, penyembah berhala atau musyrik yang bernajis.

23) Caci kaum wanita sama ada mereka benar atau bersalah. Jangan hiraukan martabat mereka walaupun mereka berimejkan Islam yang sejati. Menghormati wanita adalah dosa besar kelapan yang tidak disebutkan oleh para muhaddith di dalam senarai tujuh dosa besar.

Akhir sekali, anda hendaklah berkata: Kami adalah penganut Islam yang sebenar. Selain kami, bukan. Sesiapa yang memusuhi kami, maka bererti dia memusuhi Islam dan kami perlu menentangnya. Sesiapa yang tidak menerima fahaman kami, maka dia adalah musuh kami. Kaum muslimin selain kami, pergi jahanam!!

Adapun selepas itu, ini adalah dasar-dasar yang paling menonjol daripada dasar-dasar fahaman Salafiyyah Moden. Allah Ta’ala mengetahui bahawa kami tidak menokok tambah dasar-dasar ini. Bahkan kami biarkan ia sepertimana yang asal. Kami berpandangan bahawa apa yang kami sebutkan di sini adalah perkara yang benar-benar menggambarkan fahaman ini atau yang disisipkan di dalamnya atau ia merupakan suatu tabiat semulajadi fahaman ini. Banyak lagi yang tidak kami sebutkan di sini kerana menghormati syara’, logik akal dan adab sopan.
Ketahuilah bahawa dengan menganut fahaman ini, ia merupakan jalan mudah untuk mengaut kekayaan dan keuntungan segera (perhatikan baik-baik sekeliling anda). Oleh itu, sertailah golongan ini pasti anda akan sentiasa dapat mengaut keuntungan (pilihan di tangan anda).
Apa yang dituntut daripada anda sekarang ialah: Letakkan dasar-dasar yang telah kami senaraikan di sini di atas neraca syara’ dan logik akal tanpa dikuasai oleh perasaan taksub. Tetapi dengan pemikiran yang saksama dan memelihara hukum-hakam Allah Ta’ala. Setelah itu, anda akan dapati bahawa tidak ada satu pun daripada dasar-dasar ini yang menepati ukuran syara’ yang mulia mahupun sesuai dengan pemikiran yang waras. Bahkan ia hanyalah fius yang boleh meledakkan bom yang boleh memusnahkan Islam dengan menggunakan nama Islam khususnya setelah fahaman Salafiyyah ini berjaya mempengaruhi sebahagian pemuda-pemudi yang tidak mempunyai ruang waktu yang cukup untuk melakukan kajian terperinci sehingga akhirnya mereka percaya bahawa Islam itu adalah membiarkan janggut tumbuh dengan lebat dan memusuhi seluruh umat Islam, baik yang dulu, sekarang, ulama’ mahupun pemerintah kecuali Ibnu Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahhab ditambah pula dengan kekusutan pemikiran yang berterusan dan kegentingan pemahaman yang tiada hentinya.

Kami akan sentiasa memberi ruang kepada anda untuk menyahut seruan kami ke arah pemikiran yang luas serta berpegang kepada prinsip toleransi Islam. Juga seruan ke arah kasih sayang kerana Allah Ta’ala serta tolong menolong untuk mempertahankan perkara yang disepakati untuk dipertahankan dan berkhidmat kepada perkara yang perlu dikhidmati. Tinggalkan perkara selain ini buat setiap orang yang bersesuaian dengan dirinya. Jangan menyakiti orang lain dan jangan jadikan penipuan dan dakwaan palsu bahawa anda sahaja yang benar sebagai jalan dakwah kepada Allah Ta’ala.

Kami akan sentiasa cuba menyeru kepada pendekatan di antara kelompok-kelompok Islam paling kurang pun ke arah kebersamaan yang boleh menyumbang kepada penumpuan terhadap perkara yang lebih penting dan lebih umum serta lebih tepat dan patut. Kepada Allah Ta’ala jua kita meminta petunjuk dan pertolongan.

*Artikel ini diterjemahkan daripada tulisan al ‘Allamah al Muhaddith Sayyid Muhammad Zakiyyuddin Ibrahim al Khalil al Syazuli yang diterbitkan menerusi majalah al Muslim, tahun 32, bil. 3, bulan Syawal 1401 (Ogos 1981).

Komentar saya:

Kemungkinan setelah membaca artikel ini, saya percaya ada yang beranggapan bahawa ia adalah suatu fitnah yang ditujukan kepada golongan Salafiyyah Wahhabiyyah kerana apabila kita membaca dasar-dasar yang disenaraikan oleh penulis, nampak seperti keterlaluan. Bagi saya, terpulang kepada anda untuk membuat penilaian terhadap artikel ini. Saya hanya menterjemahkan artikel ini dan meletakkannya di sini untuk dibuat penilaian terhadap gerakan Wahhabiyyah yang saya lihat semakin menguasai pemikiran rakyat Islam di negara kita. Saya pun berpandangan bahawa kelihatan penulis menulis artikel ini dengan penuh emosi dan penuh kebencian terhadap golongan Salafiyyah. Tetapi alhamdulillah, saya kenal siapa penulis. Saya berguru dengan anak-anak murid beliau di sini dan saya baca setiap karangan beliau untuk saya buat perbandingan. Ternyata apa yang beliau nyatakan ada benarnya lebih-lebih lagi saya hidup di kalangan masyarakat Mesir yang mempunyai pelbagai ideologi. Fahaman ini juga ternyata berjaya mempengaruhi sebahagian mereka terutama rakan-rakan sekuliah saya yang berbangsa Arab. Saya melihat tindakan mereka, mendengar ucapan mereka, berbual dan berbahas dengan mereka. Saya juga membaca karangan-karangan golongan ini serta tahqiq kitab yang mereka lakukan. Ternyata saya dapati sedikit sebanyak dasar-dasar yang dinyatakan oleh penulis dimiliki oleh mereka. Saya teringat seorang rakan Arab yang terpengaruh dengan fahaman ini berkata bahawa umat Islam yang bersembahyang di Masjid al Azhar dan Masjid Sayyiduna Husain semuanya memiliki akidah yang menyeleweng. Alasannya hanya satu: Kerana ada kubur di dalam masjid-masjid tersebut! Masya Allah! Kalau begitu, sembahyang umat Islam di seluruh Mesir juga tidak sah kerana sebahagian besar masjid-masjid yang ada di Mesir sememangnya memiliki kubur khususnya kubur para wali Allah. Lihat bagaimana mereka begitu lancang menghukum majoriti umat Islam sedemikian rupa! Saya cuma ingin nyatakan bahawa mereka tidak layak menggelarkan diri mereka sebagai Salafiyyah. Tetapi hanya mendakwa mengikut jejak langkah salaf sedangkan akhlak mereka jauh sekali daripada akhlak golongan salaf. Mereka adalah Wahhabiyyah sahaja kerana sepanjang pengalaman saya di sini, golongan Wahhabiyyah saja yang berperangai begini. Apapun, penilaian di tangan anda. Saya hanya menyatakan komentar berdasarkan pengalaman kerana saya ingin tegaskan bahawa saya bergaul dengan mereka secara langsung. Terpulang jika anda ingin katakan saya menipu tetapi ini adalah hakikat. Wallahu ‘alam..

http://wwwhumair-humair.blogspot.com/search?updated-max=2008-03-11T21%3A18%3A00-07%3A00


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: