Posted by: bankwahabi | November 7, 2007

Membaca al Quran di Kubur – Bid’ah? Sesat? Menjawab Azwira.

http://al-fanshuri.blogspot.com/

Membaca al Quran di Kubur – Bid’ah Ke? Sesat Ke?


Kemarin dulu (5 November 2007) aku terbaca sebuah artikel di dalam akhbar Utusan Malaysia. Artikel bertajuk “Hadis palsu menyesatkan umat” yang ditulis oleh Dr Azwira Abdul Aziz, seorang pensyarah di Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia.


Setelah kuamat-amati akan tulisan tersebut, ternyata sang penulis ternyata bertujuan untuk membid’ah dan menyesatkan mereka yang membaca al-Quran di kubur. Dari pengamatanku, ternyata penulis tersebut tidak berhati-hati bahkan semborono dalam membuat tuduhan. Bahkan kaedah perbandingan yang digunakan pun sungguh melucukan.


Maka kerana itulah terpanggil aku untuk menulis di blog yang serba dhoif ini bagi membetulkan tuduhan tersebut walaupun aku tersangat dhoif dalam bidang keilmuan Islam. Untuk menjawab persoalan ini, maka aku yang faqir lagi haqir ini sekadar ingin membawa pendapat para ulama yang mu’tabar yang mana terlebih faham mereka itu akan al-Quran dan as-Sunnah.

Apakah benar, membaca al-Quran di kubur itu merupakan satu amalan bid’ah dan sesat? Allahu Allah, kalau dibelek-belek kitab-kitab fiqh ternyata tidak bahkan ianya dianjurkan. Antara yang sempat dibelek:

Kitab al-Iqna’ fi Halli al-Fadz Abi Syuja oleh Syeikh Khotib Syarbini: “Dan membaca oleh yang ziarah itu disisi penghuni kubur itu akan apa yang mudah daripada Al-Quran maka sungguhnya rahmat itu turun ia pada tempat dibacakan Al-Quran. Dan mayat itu seperti orang yang hadir yang diharapkan baginya akan rahmat dan hendaklah berdoa yang ziarah itu selepas membaca Al-Quran kerana doa itu memberi manfaat kepada mayat. Dan doa selepas membaca Al-Quran lebih hampir kepada diperkenankan……’ [halaman 208; cetakan Dar al-Fikr]

Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhabi al-Imam asy-Syafie oleh Dr Musthafa Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali Syarbaji: “Apabila seseorang penziarah memasuki kawasan perkuburan, disunatkan mengucapkan salam kepada penghuni kubur dengan berkata:

السلام عليكم دار قوم مؤمنين و إنا إن شا الله بكم لا حقون ( رواه مسلم : 249
Salam sejahtera keatas kamu, penghuni di rumah orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami, insyaAllah (pada masa akan datang) menyusul pula bersama-sama kamu [Hadits riwayat Muslim: 249]

Dan hendaklah membaca disisi mereka itu akan apa yang mudah daripada al-Quran maka sungguhnya rahmat itu turun ia dimana saja tempat dibacakan al-Quran, kemudian hendaklah ia berdoa bagi mereka itu setelah selesai membaca al-Quran dan hendaklah ia hadiahkan umpama pahala bacaannya itu bagi sekelian arwah mereka itu. Maka sesungguhnya doa itu diharapkan akan perkenan. Dan apabila diperkenankan doa itu nescaya mengambil faedahlah oleh mayat dari pahala bacaan tersebut. Wallahu a’lam [halaman 278; juzuk 1; cetakan Dar al-Qalam]

Dalam kitab al-Majmu’ oleh al-Imam an-Nawawi: “Disunnatkan bagi orang yang menziarahi kubur bahawa membaca apa-apa yang mudah dari al-Quran dan mendoakan untuk mereka (yang mati) selepas bacaan (al-Quran). Telah menashkan (yakni menyebut dengan terang/jelas) oleh Imam Syafie padanya. Ashhab (juga) telah sependapat (pada masaalah ini). Menambah beliau (Imam Syafie) ditempat lain dengan katanya ‘Jika mengkhatamkan bacaan al-Quran oleh mereka (yang hidup) diatas (sisi) kubur lebihlah afdhalnya” [halaman 311, juzuk 5, cetakan Dar al-Fikr]


Maka cukuplah untuk kita katakan bahwa membaca al-Quran dikubur itu adalah disunatkan. Bukannya bid’ah lagi sesat sebagaimana dikatakan oleh Dr. Azwira.

Seterusnya aku nak bawa lagi pendapat ulama yang menunjukkan bahwa boleh bahkan disunatkan membaca al-Quran di kubur tatkala menziarahinya.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut di dalam kitabnya ar-Ruh [cetakan kedua di Haiderabaad, mukasurat 13; cetakan Dar Ibn Katsir, halaman 64 – 66]: Sesungguhnya tersebut daripada satu jamaah daripada salaf, bahawa mereka berwasiat membaca al-Quran disisi kubur mereka pada ketika pengkebumian. Abdul Haq berkata: “Bahawa Abdullah bin Umar رضي الله عنهما, menyuruh dibacakan surah al-Baqarah disisi kuburnya. Dan sebahagian dari orang yang menyaksikan perkara tersebut [wasiat tersebut] adalah al-‘Alaa` bin ‘Abdurrahman. Imam Ahmad رضي الله عنه pada permulaannya mengingkari perkara tersebut [sampai dan harus membaca al-Quran] sebab tidak sampai lagi pada beliau hadits, selepas itu beliau rujuk kembali dari fatwanya [dengan mengatakan sampai dan harus membaca al-Quran].

Al-Khallal berkata dalam kitab beliau al-Jami’ pada bab Membaca al-Quran Disisi Kubur: Telah mengkhabarkan daku oleh al-Abbas bin Muhammad Ad Dauri, beliau berkata: Telah mengkhabarkan daku oleh Yahya bin Ma’in Beliau berkata: Telah mengkhabarkan daku oleh Abdurrahman bin al-Alaa`, bin al-Jalaaj, daripada bapanya, beliau ( yakni Abdurrahman) berkata: Telah berkata bapaku: Apabila aku mati, letakkan daku di liang lahad engkau bacalah ‘Bissmillahi wa ala millati Rasullilah’ dan timbuskan perlahan-lahan tanah atasku lalu bacalah disisi kepalaku awal surah al-Baqarah,kerana bahawasanya aku telah mendengar Abdullah bin Umar رضي الله عنهما,, berkata (berwasiat) seperti itu”.

Abbas ad-Dauri berkata: Aku bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal, berkata aku: Adakah engkau hafal suatu (hadits) berkenaan membaca al-Quran disisi kubur?.Beliau menjawab: Tidak dan aku telah bertanya pada Yahya bin Ma’in, maka beliau mengkhabarkan tentang hadits ini padaku

Al-Khallal berkata: Telah mengkhabarkan kepadaku al-Hasan bin Ahmad al-Warraq, beliau berkata: Telah menceritakan daku Ali bin Musa al-Haddad -beliau seorang yang sangat benar -, beliau berkata: Adalah aku bersama-sama Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Qudamah al-Jauhari mengiringi jenazah. Maka apakala selesai dikebumi mayyit tersebut, duduklah seorang buta membaca al-Quran disisi kubur itu. Imam Ahmad berkata (menegur) kepada lelaki itu: Hai lelaki … bahwa membaca al-Quran disisi kubur adalah perbuatan bida’ah

Apakala kami keluar dari perkuburan, bertanya Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad bin Hanbal; Wahai Abu Abdillah, apa kata (komen) engkau pada Mubassyir al-Halabi?. Imam Ahmad menjawab: Orang thiqah (kepercayaan). Berkata Muhammad bin Qudamah lagi: Adakah engkau tulis (catit/riwayatkan) daripadanya sesuatu hadits?. Jawab Imam Ahmad: Bahkan (ya aku catitkan). Muhammad bin Qudamah lalu berkata: Mengkhabarkan daku oleh Mubsyir daripada Abdurrahman bin al-‘Alaa bin al-Lajlaaj ,daripada bapanya: Bahawa bapanya berwasiat apabila dia selesai dikebumi dibacalah disisi kepalanya awal surah al-Baqarah dan akhirnya (Surah al-Baqarah). Kemudian dia (al-‘Alaa) berkata: Aku dengar Ibnu Umar رضي الله عنهما berwasiat dengan demikian itu. Lalu
Imam Ahmad berkata: Kembalilah engkau (keperkuburan) dan katakan kepada lelaki tersebut “BACALAH”.

Al Hasan bin Asshabah Azza’farani berkata “Aku bertanya kepada Imam Syafie berkenaan membaca Quran di sisi kubur, maka beliau menjawab: “Tak mengapa, dengannya” (tidak salah)”.

Al-Khallal menyebut lagi: Adalah (shahabat dari golongan) al-Ansar, apabila kematian dikalangan mereka ,mereka pergi ke kubur yang kematian itu, membaca Quran disisinya”.

Tersebut di dalam kitab Tahqiiqul Aamal fima Yanfa’ul Mayyit minal ‘Amaal oleh al-Marhum as-Sayyid Dr. Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani:

Telah berkata al-Hafidz as-Suyuthi: Telah meriwayatkan al-Baihaqi di dalam Syu’ab dan ath-Thabrani dari Ibn Umar رصي الله عنهما dari Nabi صلى الله عليه وسلم (maksudnya): Apabila salah seorang daripada kalian mati, maka janganlah kalian tahan lama-lama, segeralah untuk mengkebumikannya, dan bacakan Faatihatul Kitab (surah al-Faatihah) dekat kepalanya. Dan menurut lafaz yang diriwayat al-Baihaqi: Bacalah permulaan surah al-Baqarah dekat kepalanya dan akhir surah al-Baqarah dekat kakinya, dikuburnya. [Syarhus Shudur – Imam Suyuthi]

Aku (Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki) berkata (berpendapat): Para shahabat telah mengamalkan hadits ini. Sebuah hadits diriwayatkan oleh al-Khallal di dalam kitabnya al-Jami bab al-Qiraah ’ind Qubur: Telah mengkhabarkan kami oleh al-Abbas bin Muhammad ad-Dauri, telah menceritakan kepada kami Yahya bin Main, telah menceritakan kepada kami Mubassyir al-Halabi, telah menceritakan kepada kami ‘Abdurrahman bin al-‘Alaa bin al-Jallaaj dari bapanya, dia berkata: Telah berkata bapaku: apabila aku mati, letakkan aku di dalam quburku kemudian bacalah:

بِسْمِ اللهِ وَعَلى سُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم
Dan timbuslah tanah atasku dengan cermat, kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku lihat Ibn Umar menggalakkan berbuat demikian. [al-Baihaqi – Sunan al-Kubra]

Abbas ad-Duri pernah menanyakan kepada Imam Ahmad bin Hanbal, apakah beliau hafal sesuatu yang harus dibaca di kubur, maka Ibn Hanbal menjawab tidak, kemudian soalan yang sama dikemukakan kepada Yahya bin Main, akhirnya beliau menceritakan hadits diatas.

Al-Khallal berkata: Aku mendapat khabar dari al-Hassan bin Ahmad al-Warraq dari ‘Ali bin Musa al-Haddad, beliau adalah seorang yang benar, dia berkata: Aku bersama Ahmad bin Hanbal dan Muhammad Qudamah al-Jauhari mengunjungi satu jenazah. Setelah jenazah itu dikebumikan, seorang lelaki buta duduk membaca al-Quran disisi kubur. Lantas Imam Ahmad mendekati lelaki itu dan berkata: Hei kamu! Membaca al-Quran disisi kubur adalah bid’ah.

Setelah kami keluar, Muhamad bin Qudamah bertanya kepada kepada Ahmad bin Hanbal: Wahai Abu Abdillah, apa pendapatmu tentang Mubassyir al-Halabi? Maka Imam Ahmad bin Hanbal menjawab: Dia seorang yang tsiqah (boleh dipercayai). Beliau (Imam Ahmad) bertanya: Apakah engkau meriwayatkan sesuatu daripadanya? Ya! Jawab Ibn Qudamah. Dia pun melanjutkan penjelasannya: aku mendapat berita dari Mubassyir dari Abdurrahman bin al-‘Alaa bin al-Jallaaj dari ayahnya, dia berwasiat jika nanti jenazahnya dikuburkan, hendaklah dibaca permulaan dan akhir surah al-Baqarah disisi kepalanya. Ayahnya berkata bahwasanya wasiat beliau itu beliau dengar dari shahabat Abdullah bin Umar رصي الله عنهما . Sebaik mendengar riwayat itu, Imam Ahmad ibn Hanbal menyuruh agar kembali semula ke kubur dan memerintahkan agar lelaki buta tersebut meneruskan bacaan al-Qurannya.

Al-Hassan bin as-Shobah al-Za’farani bertanya kepada Imam asy-Syafie: Bagaimanakah hukum membaca al-Quran di kubur? Imam Syafie menjawab: Laa ba’sa bih (tiada mengapa/ tiada apa-apa larangan akan hal itu) – Tahqiiqul Aamal fima Yanfa’ul Mayyit minal ‘Amaal, halaman 58 – 60, Maktabah Dar Jawami’ al-Kalim]

Imam Al Baihaqi didalam kitab Ma’rifatus Sunan, juzuk ke-4, halaman 191, cetakan Dar al-Kutub, hadits yang ke-2183:


قال الشافعى : وأحب لو قرئ عند القبر ودعى للميت.
Berkata Imam Syafie: “Dan saya suka jikalau dibacakan disisi kubur al-Quran dan didoakan terhadap mayyit”.

Dari petikan yang aku bawakan diatas, jelas bahawa Imam Ahmad ibn Hanbal dan gurunya Imam asy-Syafie membolehkan membaca al-Quran di kubur. Siapalah Dr Azwira kalau nak dibandingkan dengan dua orang imam mazhab yang bertaraf mujtahid mutlak. Apakah mau dikatakan mereka jahil dalam ilmu hadits? Apakah mau dikatakan mereka sewenang-wenangnya mengeluarkan sesuatu pendapat? Apakah Dr Azwira dan panutannya al-Albani terlebih memahami al-Quran dan as-Sunnah dari imam-imam ini?

Maka berhati-hatilah dengan golongan yang merasa diri meraka alim, mampu istinbath hukum, mampu ijtihad dek kerana segulung Phd yang ada padanya, dek kerana mereka sudah menjadi pensyarah dan sebagainya …… Perhatikan dari mana dan dari siapa ilmu yang mereka ambil, kitab siapa yang mereka telaah. Ulama’ mana yang menjadi panutan mereka. Jangan terus ditelan apa yang mereka tulis atau perkatakan.


Rasanya cukuplah setakat ini. Mau saja aku menulis panjang lebar tetapi dek kerana kesibukan, aku kumpulkan mana yang terdaya. Semoga kita tidak tergolong didalam mereka yang suka membid’ah dan menyesatkan umat atas semata-mata perkara khilaf. Sedangkan dihadapan mereka [golongan suka membid’ah, menyesat dan mengkafirkan umat] … ada bahaya lebih besar yang mereka diamkan, kerana itulah pegangan mereka … penggunaan hadits palsu dalam menetapkan persoalan usul, persoalan aqidah. Kalian boleh baca disini ……


Akhirkalam, mohon ampun maaf diatas segala kekasaran bahasa. Katakan TIDAK pada Wahabi! :)


Responses

  1. terima kasih di atas penjelasan yang telah di berikan..tetapi saya masih rasa musykil kerana pihak yang Dr. Azwira maksudkan tadi tu kebanyakannya membawa hadis dari sohih Bukhari dan Sohih Muslim kerana mereka beranggapan 2 kitab itu adalah sumber utama selepas al-Quran.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: