Posted by: bankwahabi | Januari 24, 2007

Setelah menonton wacana Dr. Maza dalam Isu Semasa (TV1), maka izinkan saya untuk bersikap kritis.

oleh Aqil Fithri

Setelah menonton wacana Dr. Maza dalam Isu Semasa (TV1), maka izinkan saya untuk bersikap kritis.

Memang, sebahagian besar ucapan beliau waktu wacana itu saya boleh bersetuju (—> meskipun apa yang digagaskan oleh Dr. Maza tidak ada sesuatu yang baru untuk dibezakan dengan rumusan para intelektual sebelum ini). Namun, dalam waktu yang sama saya dapat mengesan terdapat beberapa sikap Dr. Maza yang telah menyanggahi ucapannya sendiri.

Pertama, ketika Dr. Maza ditanya soal siapa yang boleh bergelar ulama’/mufti. Bukankah Dr. Maza cuba mengelak—> dengan membawa retorika, “mufti rasmi” dan “mufti tak rasmi”; atau juga, “ulama rasmi”, “ulama tak rasmi”? Persoalannya, kenapa Dr. Maza tidak rungkai salahfaham definisi ulama ini serentak pada waktu itu? Bukankah sikap ini menunjukkan ulama’ kita bukan sahaja pandai membantah, tetapi pandai juga mengelak dari memberi jawapan?

Kedua, Dr. Maza saya perasaan terselit prejudis dengan Iran dan Ruhollah Khomeini ketika ditanya soal “sinema Islam”. Mengapa cuba mengatakan, “bukan Iran sahaja?” Tidakkah ini menunjukkannya prejudis seolah-olah cuba menafikan sumbangan saudara semuslim kita yang lain? Natijahnya, kita sendiri yang meletakkan sempadan pengetahuan yang sewajarnya kita boleh berkongsi dari mana-mana kelompok sekalipun!

Ketiga, Dr. Maza seboleh-bolehnya mahu mengelak dari memukul kerajaan. Dari satu sudut ia tindakan bijak dan politis, tetapi dalam waktu yang sama ia sekaligus menimbulkan tanggapan bahawa Dr. Maza cuba melunakkan sikapnya terhadap kerajaan. Atau, cuba mengaburkan matanya terhadap kesalahan kerajaan! Adakah sikap dan pendekatan Dr. Maza selari dengan konsep akal dan etika? Malah, mengapa hampir “per se” idea Dr. Maza dalam wacana tersebut menyalahkan ummah! Kenapa tidak disalahkan juga kerajaan? Bukankah rupa ummah dibentuk oleh rupa pemerintah? Sewajarnya, Dr. Maza tidak harus jadikan ummah sebagai kambing hitam! Dan, tidak semua ummah seperti yang diungkapkan olehnya! Cara Dr. Maza mengitlakkan kesalahan ummah (semata-mata!) hanyalah menzahirkan ketirisan intelektualnya sendiri. Kajian beliau terhadap sosiologi agama ternyata tidak mikro, tidak autoritatif dan juga tidak represantatif!

Keempat, Dr. Maza menyatakan beliau mementingkan kesarjanaan, dan pastinya bukan emosi. Namun, kecenderungan serangan beliau pada aliran Islam yang lain; sufi, tasawuf, tariqat (semuanya kalangan tradisionalis) membayangkan beliau tidak menghormati serta menyelami khazanah ilmu yang terhimpun dalam aliran tersebut. Bahkan, Dr. Maza sepertinya mahu menipiskan unsur-unsur metafizik yang sudah terbina dalam aliran-aliran tersebut dengan mendaulatkan kaedah tetapi meminggirkan semangat! Pada saya, Dr. Maza harus berhati-hati, Islam bukan datang secara sehala —> konservatisme, reformisme ataupun revolusisme. Tetapi kolektif! Kita perhatikan, ada ritual-ritual Islam yang tidak direvolusi, namun semangatnya yang direvolusi terlebih dahulu. Jadi, kaedah (atau: metodologi) bukanlah soal pertama, sebaliknya semangat agama itu! Justeru, yang pertama-tamanya Dr. Maza harus merevolusi semangat/kesedaran, bukannya memomok-momokkan soal kaedah dan ritual-ritual!

Akhirnya, walaupun ini sikap kritis yang dikemukakan, namun ketrampilan beliau –dengan suara garau, kemas, berusaha tenang– memang memikat kerana paparan sebegini boleh menambah keyakinan para pendengar; muslim atau bukan-muslim. Namun, atas dasar kesarjanaan juga, idea Dr. Maza mesti diulang semak! Bandingkan fikirannya dengan Ghannouchi, Iqbal, Shariati, Faruqi, Turabi, dll. Dan, akhirnya kita bakal mengetahui siapa yang sebenarnya berkasih sayang terhadap semua aliran-aliran dalam agama, dan siapa yang memuliakan kesarjanaan. Ataupun, wawasan Dr. Maza hanya berselindung di sebalik agenda untuk mensalafikan semua orang.

Saya, pastinya bukan orang pertama yang menolak uniform. Namun, saya memang percaya, Dr.Maza hanya memperbaharui fikiran garisan Ibn Taimiyyah—>Al-Bani. Ini tidak pernah menjadi soal. Tetapi bagaimana pula dengan fikiran dari garisan At-Thusi—>Sistani? Atau, bagaimana pula dengan fikiran garisan al-Hallaj—>Kabbani? Atau, bagaimana pula dengan fikiran garisan Ibn Sina—>Fazlur Rahman? Atau, bagaimana pula dengan fikiran garisan Mu’awiyyah—>Nabhani? Atau, bagaimana pula fikiran garisan Al-Ghazzali—>Abd-Al-Haqq? Adakah semua aliran ini sesat belaka? Atau, kafir!? Jadi, mana perginya inklusivisme Dr.Maza? Dan, mengapa mahu menaja eksklusivisme?

Saya ingat kata Dr. Maza, beliau “bukan penghukum, tetapi pendidik!”, kata-kata yang dipinjam dari Ali Gharisah! Iya, benarkah mendidik? Mendidik untuk uniformkan fikiran! Fikiran siapa? Fikiran kita! Kita siapa? Kita si anu… si anu yang bukan beridealogikan salafi!

Tetapi, salahkah salafi? Tidak… salafi tidak pernah salah! Yang salah ialah penganut dan penyebar eksklusivisme!


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: