PERMATA YANG BERSINAR MENERANGKAN AQIDAH ISLAM YANG SEBENAR
الحمد لله الذي خصّ علماءَ أهل السنة بحمل راية التوحيد وعقيدة الإسلام
ووفقهم لردّ كل شبهة وضلالة يذيعها المبتدعة بين العوام
وصلى الله وسلم على سيدنا محمد مَن كشف الله به الدجى ومحا الظلام
أما بعد
“Mengapa tidak ada beberapa orang daripada setiap golongan di kalangan mereka satu kumpulan pergi untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka Telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” [Surah al-Tawbah, ayat 122]
Ulama umat ini ibarat bintang-bintang di langit yang dijadikan sebagai panduan dan petunjuk oleh mereka diselubungi kegelapan kebingungan dan disamarkan oleh pelbagai petunjuk jalan. Oleh itu, jika seseorang itu melihat di hadapannya beberapa tokoh ulama besar yang diakui oleh umat tentang kelebihan dan ilmu mereka ditalaqqikan oleh orang khusus dan orang awam, maka ketika itu dia pasti mengetahui bahawa jalan ulama besar tersebut adalah satu manhaj (metode) dan perjalanan yang mengikut jejak manhaj dan perjalanan para Sahabat, Tabi^in dan Tabi^ Tabi^in. Tidak ada satu pun ilmu Islam melainkan merekalah yang keterhadapan. Mereka tidak meninggalkan satu bab ilmu sedangkan mereka tidak menceburinya. Mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dan kemuliaan yang kukuh dalam setiap ilmu syariat. Sesiapa yang sedar dan melihat perpustakaan Islam di segenap bahagian ilmu Islam termasuk al-Quran dan ilmunya, al-Hadis dan disiplinnya, fiqh dan usulnya serta furu^nya, sirah, maghazi, sejarah, bahasa dan kesusasteraan, maka dia keluar dengan yakin tanpa diselubungi oleh sebarang sangsi serta mengakui kelebihan dan jasa ulama Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah dalam mempertahankan agama Islam.
“Umatku tidak bersepakat di atas kesesatan“. [Diriwayatkan oleh Abu Dawud]
Kami memohon kepada Allah taala agar menjadikan catatan ringkas ini suatu yang bermanfaat secara meluas kerana sesungguhnya Dia Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu dan Maha Mengetahhui tentang hamba-hamba-Nya.
http://al-masabihul-munawwirah.blogspot.com/2009/05/permata-yang-bersinar-menerangkan.html
PERMATA YANG BERSINAR MENERANGKAN AQIDAH ISLAM YANG SEBENAR 2
BAHAWA ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT
Fasal 1
Penjelasan
Bahawa Allah Maha Suci Dari Sifat Duduk Dan Bertempat
Dengan Dalil-Dalil Al-Quran, Hadis, Ijmak Dan Akal
1. Dalil al-Quran
“Tiada suatupun yang sama seperti-Nya” [Surah al-Shura, ayat 11]
Al-Imam al-Qurtubi berkata ketika mentafsir ayat di atas dalam kitabnya Tafsir al-Qurtubi[1]:
“Dan sesungguhnya sebahagian ulama muhaqqiqin telah berkata: “Tauhid itu ialah penetapan suatu zat yang tidak menyerupai zat-zat yang lain dan tidak menafikan sifat-sifat, al-Wasiti menambah suatu penjelasan dengan berkata: “Tiada suatu zat pun seperti zat-Nya, tiada suatu perbuatan pun seperti perbuatan-Nya dan tiada suatu sifat pun seperti sifat-Nya melainkan dari segi persamaan lafaz… Dan ini semuanya ialah mazhab Ahlul-Haqq was-Sunnah wal-Jama^ah radiyaLlahu ^anhum”. Intaha.
Allah taala berfirman:
“…apakah engkau mengetahui ada suatu yang sama dengan Dia?” [Surah Maryam, ayat 65]
Al-Imam al-Qurtubi mentafsirkan ayat di atas dalam kitabnya Tafsir al-Qurtubi[2]:
“Ibn ^Abbas berkata: “Firman Allah taala itu bermaksud: “Adakah engkau mengetahui Dia ada anak yakni sebanding atau semisal dengan-Nya?”.
Allah taala berfirman:
“…dan tiada satu pun yang setara dengan-Nya”. [Surah al-Ikhlas, ayat 4]
Antara sifat ketidaksamaan Allah dengan sesuatu selain-Nya ialah sifat kewujudan-Nya yang tidak pernah didahului dengan ketiadaan dan tidak ada permulaan bagi kewujudan-Nya. Dengan kata lain, tiada suatupun yang wujud tanpa didahului oleh ketiadaan melainkan Allah taala! Oleh itu, Allah telah wujud sebelum selain-Nya wujud. Inilah yang disebut sebagai azali atau keazalian. Ini berdasarkan firman Allah taala:
“Dia-lah Yang Maha Awal”. [Surah al-Hadid, ayat 3]
Ayat 3 surah al-Hadid di atas ditafsirkan dengan dalil hadis yang menyusul di bawah.
2. Dalil Hadis
“Allah ada azali dan selain-Nya tiada pun”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan al-Bayhaqi]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-^Asqalani (w. 852 H) menghuraikan hadis di atas dalam kitabnya Fathul-Bari dengan katanya[3]:
“Dan maksud kana dalam lafaz yang pertama ialah keazalian (kewujudan tanpa didahului oleh ketiadaan atau kewujudan tanpa permulaan) dan dalam lafaz kedua ialah kebaharuan selepas ketiadaan (kewujudan yang didahului oleh ketiadaan atau kewujudan yang ada permulaan)”. Intaha.
Justeru, Allah taala sentiasa wujud azali dalam keadaan tiada suatupun yang bersama keazalian-Nya. Tiada suatu air pun, tiada suatu udara pun, tiada suatu bumi pun, tiada suatu langit pun, tiada suatu Kursi pun, tiada suatu Arasy pun, tiada suatu manusia pun, tiada suatu jin pun, tiada suatu malaikat pun, tiada suatu tempat pun dan tiada suatu masa pun bersama keazalian-Nya! Oleh itu, Allah taala wujud sebelum kewujudan tempat tanpa suatu tempat, dan Dia-lah yang telah mencipta tempat dan Arasy serta Dia tidak berhajat pun kepada ciptaan-Nya.
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam bersabda:
“Ya Allah! Engkau al-Awwal maka tiada suatupun sebelum-Mu, Engkau al-Akhir maka tiada suatupun selepas-Mu, Engkau al-Zahir maka tiada suatupun di atas-Mu, dan Engkau al-Batin maka tiada suatupun di bawah-Mu”. [Diriwayatkan oleh Muslim]
Al-Hafiz Ahmad ibn al-Husayn al-Bayhaqi (w. 458 H) berkata dalam kitabnya al-Asma’ wa al-Sifat[4]:
“Sebahagian para sahabat kami mengambil dalil tentang penafian tempat daripada Allah taala dengan sabdaan Nabi : ((أنت الظاهر فليس فوقك شيء وأنت الباطن فليس دونك شيء)). Dan jika tiada suatupun di atas-Nya dan tiadapun di bawah-Nya maka Allah tidak berada di suatu tempat pun”. Intaha.
Kaum muslimin telah bersepakat bahawa Allah taala tidak bertempat di suatu tempat, tidak diliputi oleh sebarang tempat, tidak mendiami langit dan tidak juga mendiami Arasy kerana Allah taala wujud sebelum kewujudan Arasy, langit dan tempat. Allah taala mustahil berubah dari suatu keadaan kepada suatu keadaan dan dari suatu sifat kepada suatu sifat kerana perubahan keadaan dan sifat adalah sifat makhluk. Oleh itu, Allah taala wujud dengan kewujudan yang azali tanpa suatu tempat pun, dan selepas Dia mencipta tempat Dia masih wujud tanpa bertempat.
Ketahuilah bahawa para ulama yang terdiri daripada ahli hadis, ahli fiqh, ahli tafsir, ahli bahasa Arab, ahli usul, para ulama empat mazhab iaitu mazhab-mazhab Shafi^i, Hanafi, Maliki dan Hanbali – kecuali tokoh mazhab yang berpegang dengan aqidah tajsim – , ulama sufi yang benar semua mereka ini berpegang dengan aqidah yang mensucikan Allah dari tempat.
Antara ulama yang membawa nukilan ijmak Ahlus-Sunnah di atas aqidah yang mensucikan Allah taala dari tempat ialah al-Imam Abu Mansur ^Abdul-Qahir ibn Tahir al-Baghdadi (w. 429 H) dalam kitabnya al-Farq baynal-Firaq[5]:
“Dan mereka – iaitu Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah – berijmak bahawa Dia – iaitu Allah – tidak diliputi oleh suatu tempat dan tidak dilalui ke atas-Nya oleh suatu masa”. Intaha.
Al-Shaykh Imamul-Haramayn Abul-Ma^ali ^Abdul-Malik ibn ^AbduLlah al-Juwayni al-Shafi^i al-Ash^ari (w. 478 H) menjelaskan ijmak tersebut dalam kitabnya al-Irshad[6]:
“Dan mazhab Ahlul-Haqq bersepakat bahawa Allah subhanahu wa-ta^ala disucikan dari sifat mengambil lapang atau ruang dan disucikan dari sifat pengkhususan dengan arah”. Intaha.
4. Dalil Akal
Allah taala berfirman:
“Dan mereka berkata: “Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala”. [Surah al-Mulk, ayat 10]
Akal di sisi ulama tauhid adalah saksi bagi syarak dan bukanlah asal bagi agama. Oleh itu, para ulama tauhid tidak berbicara tentang hak Allah taala semata-mata bergantung kepada akal, bahkan mereka berbicara tentang perkara ini dari sudut pendalilan dengan akal berdasarkan perkhabaran yang sahih daripada Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam. Justeru, akal yang sejahtera tidak keluar dari perkara yang dibawa oleh syarak dan tidak saling bertentangan.
Dalil akal yang menunjukkan bahawa Allah taala itu maha suci dari tempat ialah jikalah akal boleh menerima bahawa Allah taala wujud tanpa bertempat sebelum penciptaan segala tempat, maka pastilah akal juga boleh menerima bahawa Allah taala juga wujud tanpa bertempat selepas penciptaan tempat dan ini bukanlah suatu penafian kewujudan Allah taala.
Perubahan keadaan dan sifat itu mustahil berlaku ke atas Allah taala kerana perubahan adalah bukti kebaharuan (kewujudan yang didahului oleh ketiadaan) yakni kemakhlukan. Kebaharuan atau kemakhlukan pula menafikan sifat ketuhanan. Iktikad tidak berdiri di atas perkara yang ditanggap oleh sangkaan, tetapi berdiri tegak di atas perkara yang boleh ditanggap oleh akal yang waras lagi sejahtera yang merupakan saksi kepada syarak.
[2] Ibid, jil. 6, juz. 11, hlm. 54.
[3] Ibn Hajar al-^Asqalani, Fathul-Bari, Dar al-Rayyan, Kaherah, juz. 6, hlm. 334.
[4] Al-Bayhaqi, al-Asma’ was-Sifat; Bab ma ja’ fil-^Arsh wal-Kursi, Dar Ihya’ al-Turath al-^Arabi, Beirut, hlm. 400.
[5] Al-Farq baynal-Firaq, Dar al-Ma^rifah, Beirut, hlm. 333.
[6] Al-Juwayni, al-Irshad ila Qawati^il-Adillah fi Usulil-I^tiqad, Mu’assasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, Beirut, hlm. 58.
PERMATA YANG BERSINAR MENERANGKAN AQIDAH ISLAM YANG SEBENAR 3
Pendapat Para Ulama Ikutan Ahlus-Sunnah Wal-Jama^Ah
Bahawa Allah Wujud Tanpa Bertempat
1. Pendapat Ulama Ikutan Sepanjang Zaman Selama Lebih 14 Kurun
Kurun Pertama Hijrah:
Misbahul-Tafrid wa Sabahut-Tawhid al-Sahabi al-Jalil wal-Khalifatur-Rashid Sayyiduna ^Ali ibn Abi Talib radiyaLlahu ^anhu wa-karrama wajhah (w. 40 H) berkata[1]:
Maksudnya:
“Allah ada azali, dan tempat tidak ada dan Dia sekarang dengan apa yang Dia ada (wujud-Nya azali tanpa bertempat)”. Intaha.
Al-Tabi^i al-Jalil al-Imam Zaynul-^Abidin ^Ali ibn al-Husayn radiyaLlahu ^anhuma (w. 94 H) berkata dalam kitabnya al-Sahifatus-Sajjadiyyah[2]:
Maksudnya:
“Engkaulah Allah yang tidak diliputi oleh suatu tempat pun”. Intaha. [Dinaqalkan oleh al-Hafiz Muhammad Murtada al-Zabidi dalam kitabnya Ithaf al-Sadatil-Muttaqin]
Kurun Kedua Hijrah:
Al-Imam Ja^far al-Sadiq radiyaLlahu ^anhu (w. 148 H) berkata[3]:
“Barangsiapa menyangka bahawa Allah itu berada di dalam sesuatu atau daripada sesuatu atau di atas sesuatu maka sesungguhnya dia telah syirik. Ini kerana jika Dia ada di atas sesuatu nescaya Dia menjadi suatu yang ditanggung, jika Dia di dalam sesuatu nescaya Dia menjadi suatu yang terbatas, dan jika Dia daripada sesuatu nescaya Dia menjadi suatu yang baharu – iaitu makhluk (yang diciptakan) – “. Intaha. [Disebut oleh al-Qushayri di dalam kitabnya al-Risalah al-Qushayriyyahi]
“Allah taala itu ada (azali) dan tempat tidak ada pun sebelum Dia mencipta makhluk. Dan Allah taala itu ada (azali) dan suatu tempat pun tidak ada dan suatu makhluk yang lain pun tidak ada, dan Dia pencipta segala sesuatu”. Intaha.
Al-Imam al-Mujtahid Muhammad ibn Idris al-Shafi^i radiyaLlahu ^anhu (w. 203 H) berkata[5]:
“Sesungguhnya Dia taala ada (azali) dan suatu tempat pun tidak ada, maka Dia mencipta tempat sedangkan Dia di atas sifat keazalian sebagaimana Dia ada (azali) sebelum Dia mencipta tempat. Perubahan tidak harus (pada akal) berlaku ke atas-Nya pada zat-Nya dan tidak juga penukaran pada sifat-Nya”.Intaha. [Dinaqalkan oleh al-Hafiz Muhammad Murtada al-Zabidi dalam kitabnya Ithaf al-Sadatil-Muttaqin]
Al-Imam al-Mujtahid Ahmad ibn Hanbal radiyaLlahu ^anhu (w. 231 H) tidak berpendapat bahawa Allah ada dengan arah sebagaimana dinaqalkan oleh al-Imam al-Hafiz Ibn al-Jawzi al-Hanbali (w. 597 H) dalam kitabnya al-Bazul-Ashhab[6] dan oleh al-Qadi Badrud-Din Muhammad ibn Jama^ah (w. 833 H) dalam kitabnya Idah al-Dalil[7].
Al-Imam al-Faqih Abu Ja^far al-Tahawi radiyaLlahu ^anhu (w. 321 H) dalam risalahnya al-^Aqidatut-Tahawiyyah[8]:
“Allah Maha Suci dari batasan, sakatan, sudut, anggota besar dan anggota kecil sedangkan Dia tidak diliputi oleh arah yang enam seperti sekalian makhluk”. Intaha.
Al-Hafiz Muhammad ibn Hibban radiyaLlahu ^anhu (w. 354 H) dalam kitabnya yang masyhur Sahih Ibn Hibban[9]:
“Allah ada (azali), sedangkan masa tidak ada dan tempat juga tidak ada”. Intaha.
Al-Imam Abu Bakr Muhammad ibn al-Hasan yang dikenali dengan panggilan Ibn Furak radiyaLlahu ^anhu (w. 406 H) berkata dalam kitabnya Mushkilul-Hadith[10]:
“(Sifat) mendiami tempat itu tidak harus (pada akal) berlaku ke atas Allah taala kerana kemustahilan keadaan-Nya itu terbatas dan berpenghujung, dan itu kerana kemustahilan keadaan-Nya itu baharu”. Intaha.
Al-Faqih al-Imam al-Shaykh Abu Ishaq al-Shirazi al-Shafi^i (w. 476 H) berkata dalam kitabnya al-Isharah ila Madhhab Ahlil-Haqq[11]:
“Sesungguhnya Allah taala itu ada (azali) sedangkan suatu tempat pun tidak ada. Kemudian Dia mencipta tempat sedangkan Dia sekarang dengan apa yang telah Dia ada (azali tanpa bertempat)”. Intaha.
Kurun Keenam Hijrah:
Al-Shaykh Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali al-Shafi^i (w. 505 H) berkata dalam kitabnya Qawa’idul-^Aqa’id[12]:
“Allah Maha Suci dari diliputi oleh suatu tempat pun sepertimana Dia Maha Kudus dari dibatasi oleh suatu masa pun, bahkan Dia ada (azali) sebelum penciptaan masa dan tempat sedangkan Dia sekarang dengan apa yang telah Dia ada (azali tanpa bertempat dan tanpa bermasa)”. Intaha.
Al-Qadi Abu Bakr Ibnul-^Arabi al-Maliki al-Andalusi (w. 543 H) berkata dalam kitabnya al-Qabas fi Sharh Muwatta’ Malik ibn Anas[13]:
“Al-Bari’ (Allah) Maha Kudus dari dibatasi dengan segala arah atau dilingkungi oleh segala tepian”. Intaha.
Al-Mufassir Fakhrud-Din al-Razi (w. 606 H) berkata dalam kitab tafsirnya yang berjudul al-Tafsir al-Kabir[14]:
“Firman-Nya taala: {وهو العلي العظيم} yang mafhumnya “Dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Yang Maha Agung” tidak harus (pada akal) bahawa maksud keadaan-Nya Yang Maha Tinggi itu sebagai tinggi dengan makna arah dan tempat lantaran pembuktian ke atas kebatilannya telah sabit. Oleh itu, wajib (pada akal) bahawa maksud Yang Maha Tinggi itu ialah Maha Suci dari penyerupaan dengan segala mumkinat (perkara yang harus ada – makhluk – ) dan persamaan dengan muhdathat (perkara yang baharu – makhluk – )”. Intaha.
“(Allah) bukanlah suatu jisim yang memang boleh digambarkan dan bukan suatu jauhar yang memang dapat dibataskan dan diukur. Dan Dia tidak menyerupai sesuatu dan tiada suatu pun yang boleh menyerupai-Nya. Dan Dia tidak diliputi oleh segala arah dan tidak lingkungi oleh segala bumi dan segala langit sedangkan Dia ada (azali) sebelum Dia mengadakan segala makhluk. Dan Dia mentadbir masa sedangkan Dia sekarang dengan apa yang telah Dia ada (azali tanpa berhajat kepada tempat, masa dan sekalian makhluk)”. Intaha.
Al-Qadi Badrud-Din Muhammad ibn Ibrahim yang dikenali dengan nama Ibn Jama^ah al-Shafi^i (w. 733 H) dalam kitabnya Idahud-Dalil[16]:
“Allah ada (azali), dan suatu masa pun tidak ada dan suatu tempat pun juga tidak ada sedangkan Dia sekarang dengan apa yang telah Dia ada (azali tanpa bertempat dan tanpa bermasa)”. Intaha.
Al-Mufassir al-Muqri’ al-Nahwi Muhammad ibn Yusuf yang dikenali dengan nama Abu Hayyan al-Andalusi (w. 745 H) berkata dalam kitabnya al-Bahrul-Muhit[17] ketika mentafsir ayat 19 surah al-Anbiya’[18]:
“Dan perkataan ^inda di sini tidak dikehendaki dengannya makna keadaan tempat kerana Dia taala itu disucikan dari tempat, bahkan makna (yang dikehendaki) ialah kemuliaan kedudukan dan ketinggian martabat”. Intaha.
“Dan tidak lazim daripada keadaan dua arah atas dan bawah yang mustahil ke atas Allah itu untuk Dia disifatkan dengan tinggi kerana pensifatan-Nya dengan tinggi dari segi makna. Dan mustahil keadaan (tinggi) itu dari segi hissi (pencerapan deria), dan oleh itu, (sifat-sifat) al-^Ali, al-^Aliyy dan al-Muta^ali telah warid dalam pensifatan-Nya”. Intaha.
Al-Shaykh Badrud-Din Mahmud ibn Ahmad al-^Ayni al-Hanafi (w. 855 H) berkata dalam kitabnya ^Umadatul-Qari[20]:
“Ditetapkan bahawa Allah bukanlah suatu jisim, maka Dia tidak berhajat kepada suatu tempat yang Dia bertempat padanya, maka sesungguhnya Dia ada azali dan suatu tempat pun tidak ada (bersama dengan keazalian-Nya)”. Intaha.
Kurun Kesepuluh Hijrah:
Al-Hafiz Jalalud-Din ^Abd al-Rahman ibn Abu Bakr al-Suyuti al-Shafi^i (w. 911 H) berkata ketika menghuraikan hadis((أقرب ما يكون العبد من ربه وهو ساجد)) di dalam kitabnya Sharh Sunan al-Nasa’i[21]:
“Al-Qurtubi berkata: “Lafaz aqrab (lebih hampir) ini dengan makna tingkatan dan kemuliaan bukannya dengan makna jarak kerana sesungguhnya Dia disucikan dari tempat, jarak dan masa. Al-Badr ibn al-Sahib berkata: “Di dalam hadis tersebut ada suatu isyarat kepada penafian arah buat Allah taala”. Intaha.
“Zat (Diri) Allah itu disucikan dari sebarang tempat dan arah”. Intaha.
Al-Shaykh Mulla ^Ali al-Qari al-Hanafi (w. 1014 H) berkata dalam kitabnya al-Rawdul-Azhar fi Sharh al-Fiqhil-Akbar[23]:
“Adapun ketinggian Allah taala ke atas ciptaan-Nya yang diambil dari seperti firman Allah taala: {وهو القـاهر فوق عباده} [Surah al-An^am, ayat 61], maka (makna ketinggian) ialah ketinggian kedudukan dan martabat bukannya ketinggian tempat seperti yang diakaui di sisi Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah”. Intaha.
Al-Muhaddith al-Shaykh Muhammad ibn ^Ali yang dikenali dengan nama Ibn ^Allan al-Siddiqi al-Shafi^i al-Ash^ari (w. 1057 H) berkata dalam kitabnya al-Futuhat al-Rabbaniyyah[24]:
“Sesungguhnya Allah di atas setiap yang wujud dari segi kedudukan dan penguasaan bukannya dari segi tempat dan arah”. Intaha.
Al-Shaykh Muhammad ibn ^Abd al-Baqi al-Zarqani al-Maliki (w. 1122 H) berkata dalam kitab huraiannya ke atas Muwatta’ al-Imam Malik[25]:
“Al-Baydawi berkata: “Oleh kerana telah sabit dengan dalil-dalil yang putus bahawa Allah subhanahu itu disucikan dari kejisiman dan pengambilan ruang, maka sifat turun tertahan dari (menjadi sifat-)Nya dengan makna berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lebih rendah darinya”. Intaha.
Al-Sufi al-Zahid al-^Arif al-Shaykh ^Abdul-Ghani al-Nabulusi al-Dimashqi al-Hanafi (w. 1143 H) berkata dalam kitabnya Ra’ihatul-Jannah Sharh Ida’atud-Dujnah[26]:
“Allah subhanahu wa-ta^ala maha suci dari semua tempat yang teratas, terbawah dan suatu yang ada di antara tempat yang teratas dan yang terbawah”. Intaha.
Al-Shaykh Muhaddith Bayrut Muhammad ibn Darwish al-Hut al-Husayni al-Sharif al-Shafi^i (w. 1279 H) berkata dalam kitabnya Rasa’il fi Bayan ^Aqa’id Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah[27]:
“Dan tiada suatu masa pun dan tiada suatu tempat pun masuk dalam kewujudan Allah taala kerana sesungguhnya Dia terdahulu (azali) sebelum sebarang masa dan tempat”. Intaha.
Al-Shaykh ^Abdul-Ghani al-Ghanimi al-Maydani al-Hanafi al-Dimashqi (w. 1298 H) berkata dalam kitabnya Sharh al- ^Aqidah al-Tahawiyyah[28]:
“Dan Allah taala itu bukanlah suatu jisim. Oleh itu, maka melihat-Nya bukanlah seperti melihat segala jisim. Ini kerana sesungguhnya perbuatan melihat adalah kesudahan bagi sesuatu berdasarkan keadaan sesuatu tersebut. Maka barangsiapa yang ada di suatu tempat dan arah tidak dilihat melainkan di suatu tempat dan suatu arah seperti begitulah. Makhluk dilihat dengan cara berdepan, bersambungnya suatu pancaran cahaya dan tetapya suatu jarak. Oleh itu, sesiapa yang tidak ada di suatu tempat, tidak juga di suatu arah dan tidak berjisim, maka demikian juga melihatnya tidaklah di suatu tempat dan tidak juga di suatu arah”. Intaha.
Al-Shaykh ^Abdul-Majid al-Sharnubi al-Azhari (w. 1348 H) ketika menghuraikan kitab Ta’iyyah al-Suluk[29]:
“Maka Allah subhanhu tidak dibatasi oleh suatu masa dan tidak ditanggung oleh suatu tempat, bahkan Dia ada (azali) dan suatu tempat pun tidak ada dan suatu masa pun tidak ada, sedangkan Dia sekarang dengan apa yang telah Dia ada (wujud-Nya azali tanpa bertempat dan tanpa bermasa)”. Intaha.
“Ahlul-Haqq (Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah) dari kalangan ulama Salaf dan Khalaf berijmak di atas mensucikan al-Haqq (Allah) dari arah dan mengkuduskan-Nya dari tempat”. Intaha.
Muhaddith al-Diyar al-Maghribiyyah al-Shaykh ^AbduLlah ibn Muhammad al-Siddiqi al-Ghummari (w. 1413 H) dalam kitabnya ^Aqidah Ahlil-Islam[31]:
“Al-Naysaburi berkata dalam tafsirnya: “Adapun firman Allah {ورافعك إليّ}[surah Al ^Imran, ayat 55] maka golongan al-Mushabbihah berpegang dengan semisal firman ini dalam menetapkan tempat bagi Allah dan bahawa Dia di langit, tetapi dalil-dalil yang putus menunjukkan bahawa sesungguhnya Dia maha suci dari ruang dan arah, maka wajib membawa (makna) zahir ini berdasarkan takwil bahawa maksudnya: “ke tempat kemuliaan-Ku”. Intaha.
Al-^Allamah al-Faqih al-Muhaddith al-Hafiz al-Shaykh ^AbduLlah al-Harari yang dikenali dengan panggilan al-Habashi (w. 1429 H) berkata dalam kitabnya Izharul-^Aqidah al-Sunniyyah[32]:
“Ahlul-Haqq (Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah) berkata sesungguhnya Allah bukanlah bertempat di suatu tempat iaitu tidak boleh berlaku ke atas-Nya perlakuan menyentuh tempat dan menetap di atasnya”. Intaha.
____________________________________
[2] Muhammad Murtada al-Zabidi, Ithaf al-Sadatil-Muttaqin, Dar al-Fikr, Beirut, juz. 4, hlm. 380.
[3] Abul-Qasim ^Abdul-Karim al-Qushayri, al-Risalah al-Qushayriyyah, Dar al-Kitab al-^Arabi, hlm. 6.
[4] Abu Hanifah al-Nu^man ibn Thabit, al-Fiqhul-Absat – dikumpulkan dalam Majmu^ Rasa’il Abi Hanifah dengan tahqiq al-Kawthari – , t. pt., hlm. 6.
[5] Muhammad Murtada al-Zabidi, Ithaf al-Sadatil-Muttaqin, Dar al-Fikr, Beirut, juz. 2, hlm. 23.
[6] Ibn Jawzi, al-Bazul-Ashhab al-Munqid ^ala Mukhalifil-Madhhab, Dar al-Jinan, Beirut, hlm. 56.
[7] Ibn Jama^ah, Idah al-Dalil fi Qat^ Hujaj Ahlit-Ta^til, Dar al-Salam, Mesir, hlm. 108.
[8] Abu Ja^far, al-^Aqidah al-Tahawiyyah – disertakan dalam Sharh al-^Aqidah al-Tahawiyyah oleh al-^Allamah al-Faqih ^Abdul-Ghani al-Ghanimi – , Dar al-Fikr, Damsyiq, hlm. 28.
[9] Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban – lihat dalam al-Ihsan bi-Tartib Sahih Ibn Hibban oleh Ibn Balban – , Dar al-Kutub al-^Ilmiyyah, Beirut, juz. 8, hlm. 4.
[10] Ibn Furak, Mushkil al-Hadith, Dar al-Kutub al-^Ilmiyyah, Beirut, hlm. 57.
[11] Abu Ishaq al-Shirazi, Sharh al-Luma^ – lihat aqidah al-Shirazi di mukadimah kitab ini – , Dar al-Gharb, Beirut, juz. 1, hlm. 101.
[12] Al-Ghazali, Ihya’ ^Ulum al-Din – lihat di bahagian yang bertajuk Kitab Qawa’id al-^Aqa’id di fasal pertama -, Dar al-Fikr, Beirut, juz. 1, hlm. 108.
[13] Abu Bakr ibn al-^Arabi al-Maliki, al-Qabas fi Sharh Muwatta’ Malik ibn Anas, Dar al-Gharb al-Islami, t. tp., juz. 1, hlm. 395.
[14] Fakhrud-Din al-Razi, al-Tafsir al-Kabir – lihat surah al-Shura, ayat 4 – , Dar al-Fikr, Beirut, juz. 27, hlm. 144.
[15][15] ^Izzud-Din ibn ^Abd al-Salam, Mulhatul-I^tiqad - lihat dalam Tabaqat al-Shafi^iyyah al-Kubra oleh al-Shaykh Tajud-Din al-Subki – , Dar Ihya’ al-Kutub al-^Arabiyyah, Kaherah, juz. 8, hlm. 219. Lihat juga Mulhah fi I^tiqad Ahlil-Haqq oleh Sultanul-^Ulama’ al-Shaykh ^Izzud-Din ibn Abdis-Salam dalam Rasa’il fi al-Tawhid, Dar Fikr al-Mu^asir, Beirut – Dar al-Fikr, Damsyiq, hlm. 11.
[16] Ibn Jama^ah, Idah al-Dalil fi Qat^ Hujaj Ahlit-Ta^til, Dar al-Salam, Mesir, hlm. 103 – 104.
[17] Abu Hayyan al-Andalusi, al-Bahrul-Muhit – lihat surah al-Anbiya’, ayat 19 – , Dar Ihya’ al-Turath al-^Arabi, Beirut, juz. 6, hlm. 302.
[18] Iaitu firman Allah taala: {وله من في السماوات والأرض ومن عنده لا يستكبرون عن عبادته} Maksudnya: “Dan kepunyaan-Nyalah segala yang di langit dan di bumi. dan malaikat-malaikat yang di sisi-Nya, mereka tiada mempunyai rasa angkuh untuk menyembah-Nya..”
[19] Ibn Hajar al-^Asqalani, Fathul-Bari bi-Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Ma^rifah, Beirut, juz. 6, hlm. 136.
[20] Al-^Ayni, ^Umdatul-Qari Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Fikr, Beirut, jil. 12, juz. 25, hlm. 117.
[21] Al-Suyuti, Sharh Sunan al-Nasa’i, Dar al-Ma^rifah, Beirut, juz. 1, hlm. 576.
[22] Al-Qastalani, Irshad al-Sari li-Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Fikr, Beirut, juz. 15, hlm. 451.
[23] Mulla ^Ali al-Qari, al-Rawdul-Azhar fi Sharh al-Fiqhil-Akbar, Dar al-Kutub al-^Ilmiyyah, Beirut, hlm. 196 – 197.
[24] Ibn ^Allan al-Siddiqi, al-Futuhat al-Rabbaniyyah ^alal-Adhkar al-Nawawiyyah, Dar al-Fikr, Beirut, jil. 4, juz. 7, hlm. 327.
[25] Al-Zarqani, Sharh al-Zarqani ^ala Muwatta’ al-Imam Malik, Dar al-Ma^rifah, Beirut, juz. 2, hlm. 36.
[26] Al-Nabulusi, Ra’ihatul-Jannah Sharh Ida’atud-Dujnah, Mustafa al-Babi al-Halabi, Kaherah, 48 – 49.
[27] Muhammad al-Hut, Rasa’il fi Bayan ^Aqa’id Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah, ^Alam al-Kutub, Beirut, hlm. 44.
[28] Al-Ghanimi, Sharh al-^Aqidah al-Tahawiyyah, Dar al-Fikr, Damsyiq, hlm. 68 – 69..
[29] Al-Sharnubi, Sharh Ta’iyyatis-Suluk ila Malikil-Muluk, al-Matba^ah al-Hamidiyyah, Mesir, hlm. 60.
[30] Salamah al-Quda^i, Furqanul-Qur’an bayna Sifatil-Khaliq wa-Sifatil-Akwan, Dar Ihya’ al-Turath al-^Arabi, Beirut, hlm. 93.
[31] ^AbduLlah al-Ghummari, ^Aqidah Ahlil-Islam fi Nuzul ^Isa ^alayhis-salam, Maktabah al-Qahirah, Mesir, hlm. 29.
[32] ^AbduLlah al-Harari, Izharul-^Aqidah al-Sunniyyah bi-Sharhil-^Aqidah al-Tahawiyyah, Dar al-Mashari^ lit-Tiba^ah wan-Nashr wat-Tawzi^, Beirut, hlm. 164 – 165.
PERMATA YANG BERSINAR MENERANGKAN AQIDAH ISLAM YANG SEBENAR 4
“Maha suci Allah taala daripada pindah dan bergerak dan mengambil tempat dan bertempat yang tertentu pada suatu benua dan berpihak dengan pihak yang tertentu… tiada meliputi akan Allah taala itu oleh tempat… dan tiada menentukan Allah taala itu oleh zaman… adalah Allah itu dahulu daripada bahawa Ia menjadikan akan zaman dan tempat dan adalah Allah taala sekarang atasnya iaitu ada Ia sedia tiada berubah-ubah daripada sedia-Nya”. Intaha.
“…Dan bahawasanya Allah taala Maha Suci daripada zaman dan makan yakni tiada lalu atas-Nya oleh masa dan tiada ditentukan dengan suatu tempat seperti barang yang diiktikadkan oleh orang yang jahil dan yang sesat bahawasa Allah taala di dalam fu’ad kita Maha Suci Allah taala daripada demikian itu dan Maha Suci daripada menyerupai bagi akwan tiada meliputi dengan Dia oleh segala pihak dan tiada mendatangkan Dia segala yang baharu. Bersamaan Ia atas Arasy atas wajah yang difirman-Nya dan atas makna yang dikehendaki-Nya akan dia akan sebagai bersamaan yang berpatutan dengan kebesaran-Nya dan ketinggian kepujian-Nya dan kebesaran-Nya…”. Intaha.
“…atau [Allah] taala [itu] [mustahil] di suatu arah bagi jirim dengan keadaan Dia berada di kanan jirim, atau kirinya, atau atasnya, atau bawahnya, atau depannya, atau belakangnya, atau [Allah] taala [itu] [mustahil] bagi-Nya ada suatu arah dengan keadaan ada bagi-Nya kanan, atau kiri, atau atas, atau bawah, atau belakang, atau depan, atau [Allah taala itu mustahil] bergantung dengan suatu tempat dengan keadaan Dia bertempat padanya dengan keadaan Dia berada di atas Arasy”. Intaha.
Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani berkata dalam kitabnya Nuruz-Zalam Sharh Manzumah ^Aqidatil-^Awam[4]:
“…dan setiap sifat perkara baharu yang melintasi benak anda maka jangan anda mempercayai bahawa pada Allah itu ada sesuatu daripada perkara tersebut, dan tiada bagi-Nya suatu tempat dengan asal. Maka Dia bukan di dalam dunia dan bukan juga di luarnya”. Intaha.
“Ertinya zat Allah taala itu bukan Ia jirim dan jisim dan jawhar fard dan tiada Ia berpihak dan tiada Ia pada satu pihak bagi jirim dan tiada Ia bertempat dan tiada Ia bermasa dan tiada Ia bersifat dengan kecil dan tiada Ia bersifat dengan besar dan tiada Ia bersifat dengan segala sifat yang baharu ini…”. Intaha.
“(Keempat: Mukhalafatuhu ta^ala lil-hawadith;) ertinya menyalahi-Nya taala akan yang baharu-baharu. Dan dikehendaki dengan dia akan (bersalahan Allah taala) sedia kala lagi berkekalan (akan yang baharu-baharu ertinya ketiadaan menyamai-Nya) dan ketiadaan menyerupai-Nya taala (akan sesuatu daripada makhluk) ini (pada zat-Nya) kerana bahawasa zat makhluk ini jirim yang bertempat dan zat-Nya taala itu bukannya jirim (tiada pula) menyamaikan dia (pada sifat-sifat-Nya) kerana bahawasa sifat-sifat makhluk ini ^arad yang bertangkup pada jirim dan menu[m]pan[g]kan dia pada bertempat dan sifat-sifat-Nya taala itu bukannya ^arad…”. Intaha.
“Dan aku memohon kepada Allah pula bahawa menjadikan risalah ini perisai yang dapat mempertahankan dan dapat menolakkan akan segala ajaran-ajaran yang sesat yang menyesatkan orang awam, yang dibawa akan dia oleh orang-orang yang tidak sangkakan dengan jahilnya seperti ajaran-ajaran yang mengatakan tidak wajib belajar sifat-sifat dua puluh yang termasyhur itu dan ajaran-ajaran melihat Tuhan di dalam dunia, dan ajaran-ajaran yang memegang dengan zahir ayat mutashabihah dan mengatakan Tuhan bertempat dan sebagainya daripada ajaran-ajaran sesat”. Intaha.
“Dan makna bersalahan itu tiga perkara; bersalahan pada zat dengan makna zat Allah taala bukannya jirim yang bertempat walaupun di mana tempat dan makhluk ini semuanya jirim yang bertempat. Kalau begitu tidak boleh dikatakan Allah taala itu bertempat di mana-mana tempat, maka jika didapati di dalam Quran dan hadith barang yang memberi waham menyerupai dan bertempat maka dinamakan ayat itu ayat mutashabihah dan hadith mutashabihah, maka wajib ditakwil akan dia supaya lepas daripada shubhah itu sama asa takwil itu dengan jalan ijmal seperti takwil ulama salaf atau takwil akan dia dengan jalan tafsil seperti takwil ulama khalaf”. Intaha.
[2] Al-Shaykh Zaynul-^Abidin ibn Muhammad al-Fatani, Irshadul-^Ibad ila Sabilir-Rashad, al-Matba^ah al-Ahmadiyyah, Singapura, 1343 H, hlm. 4 – 5.
[3] Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani, al-Thimarul-Yani^ah fi al-Riyadil-Badi^ah, Muhammad al-Kutbi, Kaherah, t. th., hlm. 5.
[4] Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani, Nuruz-Zalam Sharh Manzumah ^Aqidatil-^Awam, Dar al-Hawi, Jeddah, t. th., hlm. 37.
[5] Al-Shaykh Husayn Nasir ibn Tayyib al-Banjari, Hidayatul-Mutafakkirin, Percetakan Almuarif Sdn. Bhd., Pulau Pinang, t. th., hlm. 6.
[6] Al-Shaykh Wan Isma^il ibn ^Abdil-Qadir ibn Mustafa al-Fatani, Sharh Bakuratil-Amani li-Isharah ^Awam Ahlil-Fatani, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1421 H/ 2000 R, hlm 24 – 25.
[7] Al-Shaykh ^Abdul-^Aziz ib Isma^il al-Fatani, al-Misbahul-Munir fi Ma^rifatiLlahil-Qadir, t.pt., cet. 3, 1414 H/ 1994 R, hlm. 3.
[8] Ibid. hlm 16 – 17.
PERMATA YANG BERSINAR MENERANGKAN AQIDAH ISLAM YANG SEBENAR 5
BAHAWA ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT
Fasal 4
Penjelasan
Hukum Golongan Yang Beriktikad
Bahawa Allah Wujud Bertempat
Al-Imam al-Mujtahid Abu Hanifah (w. 150 H) radiyaLlahu ^anhu telah mengkafirkan sesiapa yang menyandarkan tempat bagi Allah taala; iaitu seperti katanya dalam kitabnya al-Fiqhul-Absat[1]:
“Barangsiapa berkata: “Aku tidak tahu Tuhan-ku di langit atau di bumi”, maka dia telah kafir. Demikian juga, barangsiapa berkata: “Sesungguhnya Dia di atas Arasy, dan aku tidak tahu adakah Arasy itu di langit atau di bumi”. Intaha.
Al-Shaykh al-^Allamah Kamalud-Din al-Bayadi al-Hanafi (w. 1098 H) telah menghuraikan kata-kata al-Imam Abu Hanifah di atas dalam kitabnya Isharatul-Maram min ^Ibaratul-Imam seperti berikut[2]:
“Maka beliau – Abu Hanifah – berkata: (Barangsiapa berkata: “Aku tidak tahu Tuhan-ku di langit atau di bumi”, maka dia telah kafir) kerana hal keadaannya berkata dengan mengkhususkan Allah al-Bari’ itu dengan suatu arah dan ruang sedangkan secara darurah setiap perkara yang dikhususkan dengan arah dan ruang sememang suatu perkara yang berhajat (kepada selainnya) lagi baharu. Ini adalah kata-kata yang membawa kekurangan yang jelas pada hak Allah taala. – Abu Hanifah berkata: – (Demikian juga, barangsiapa berkata: “Sesungguhnya Dia di atas Arasy, dan aku tidak tahu adakah Arasy itu di langit atau di bumi) lantaran dia memestikan pendapat dengan mengkhususkan Allah taala dengan arah, ruang dan kekurangan yang jelas pada martabat Allah lebih-lebih lagi pendapat yang membawa pegangan bahawa Allah ada di bumi dan penafian ketinggian martabat Allah, bahkan penafian zat Tuhan yang disucikan dari ruang dan persamaan dengan segala sesuatu”. Intaha.
Al-Imam al-Mutakallim al-Faqih al-Mu’arrikh al-Shaykh al-Fakhr ibn al-Mu^allim al-Qurashi al-Dimashqi (w. 725 H) berkata dalam kitabnya Najmul-Muhtadi wa-Rajmul-Mu^tadi[3]:
“Nukilan daripada al-Shaykh al-Imam Aqdal-Qudah Najmud-Din dalam kitabnya yang berjudul Kifayatun-Nabih fi Sharhit-Tanbih dalam pendapat al-Shaykh Abu Ishaq radiyaLlahu ^anhu dalam Bab Sifat Para Imam: “Tidak boleh solat di belakang seseorang yang kafir kerana tidak ada suatu solat pun baginya maka bagaimana pula dia boleh diikuti”. Dia berkata: “Dan ini difahami dari kekufurannya adalah suatu yang diijmakkan ke atasnya dan sesiapa yang telah kami kafirkan mereka daripada kalangan ahli qiblat seperti golongan yang berpendapat dengan aqidah bahawa al-Quran itu makhluk, dengan aqidah bahawa Allah tidak mengetahui perkara yang tiada sebelum kewujudan perkara tersebut, golongan yang tidak beriman dengan taqdir, demikian juga golongan yang beriktikad bahawa Allah duduk di atas Arasy sebagaimana diceritakan oleh al-Qadi al-Husayn di sini daripada nas al-Shafi^i radiyaLlahu anhu”. Intaha.
Al-Imam al-Hafiz Jalalud-Din ^Abdur-Rahman ibn Abi Bakr al-al-Suyuti (w. 911 H) berkata dalam kitabnya al-Ashbah wan-Naza’ir[4]:
“Al-Shafi^i berkata: “Tidak ada seorang pun ahli qiblat yang kafir. Terkecuali dari hal itu ialah mujassim (orang beraqidah tajsim) dan orang yang mengingkari ilmu (Allah berkenaan) juz’iyyat”. Intaha.
Antara aqidah mujassim ialah berpegang bahawa Allah itu adalah suatu jisim yang mempunyai arah dan bertempat di suatu tempat. Antara mujassim tersebut ialah Muhammad ibn Karram pengasas fahaman al-Karramiyyah seperti yang disebut al-Imam Abu Mansur ^Abdul-Qahir ibn Tahir al-Baghdadi (w. 429 H) dalam kitabnya al-Farq baynal-Firaq[5]:
“Antara kesesatannya: Bahawa Ibn Karram telah menyeru para pengikutnya kepada tajsim Tuhannya dan menganggap Tuhannya itu suatu jisim yang mempunyai had dan penghujung yang terdiri daripada arah bawah-Nya dan arah yang bertemu dengan Arasy-Nya… Sesungguhnya Ibn Karram menyebut di dalam kitabnya bahawa Allah taala bersentuhan dengan Arasy-Nya dan bahawasanya Arasy adalah tempat bagi-Nya…”. Intaha.
Al-Shaykh Lisanul-Mutakallimin Abul-Mu^in Maymun ibn Muhammad al-Nasafi al-Hanafi (w. 508 H) berkata dalam kitabnya Tabsiratul-Adillah fi Usulid-Din[6]:
“Dan Allah taala menafikan persamaan di antara zat-Nya dan di antara selain-Nya yang terdiri daripada pelbagai perkara. Oleh itu, pendapat yang menetapkan tempat bagi-Nya adalah suatu sanggahan bagi nas yang muhkam ini iaitu {ليس كمثله شيء}[Surah al-Shura, ayat 11] yang di dalamnya tiada tanggungan bagi suatu sisi makna melainkan makna zahirnya. Orang yang menyanggah nas tersebut adalah kafir. Semoga kita dilindungi oleh Allah dari perkara tersebut”. Intaha.
Al-Shaykh Zaynud-Din yang lebih dikenali dengan nama Ibn Nujaym al-Hanafi (w. 970 H) berkata dalam kitabnya al-Bahr al-Ra’iq (dalam bab hukum golongan murtad, juz. 5, hlm. 129):
“Dan kufur dengan sebab penetapan tempat bagi Allah taala. Oleh itu, jika seseorang berkata: “Allah di langit”, sekiranya dia bertujuan menceritakan suatu yang datang dalam zahir nas al-Quran dan Hadis maka dia tidak kafir, dan sekiranya dia bermaksud tempat (bagi Allah taala) maka dia telah kafir”. Intaha.
Al-Shaykh Shuhabud-Din Ahmad ibn Muhammad al-Misri al-Shafi^i al-Ash^ari yang dikenali dengan nama Ibn Hajar al-Haytami (w. 974 H) berkata dalam kitabnya al-Minhajul-Qawim ^alal-Muqaddimatil-Hadramiyyah[7]:
“Dan ketahuilah bahawa al-Qarafi dan selain beliau telah menceritakan daripada al-Shafi^i, Malik, Ahmad dan Abu Hanifah radiyaLlahu ^anhum tentang pendapat kufurnya golongan yang berpendapat dengan arah dan tajsim (bagi Allah taala), dan mereka (para imam mazhab tersebut) pasti tentang perkara tersebut”. Intaha.
Al-Shaykh al-Mulla ^Ali al-Qari al-Hanafi (w. 1014 H) berkata dalam kitabnya Mirqatul-Mafatih Sharh Mishkatil-Masabih[8]:
“Bahkan sekumpulan daripada kalangan ulama salaf dan ulama khalaf bahawa orang yang beriktikad dengan adanya arah bagi Allah adalah kafir seperti yang diterangkan oleh al-^Iraqi dengan jelas iaitu dia berkata: “Sesungguhnya ini adalah pendapat bagi Abu Hanifah, Malik, al-Shafi^i, al-Ash^ari dan al-Baqillani”. Intaha.
Al-Shaykh al-Mulla ^Ali al-Qari berkata lagi dalam kitabnya Sharhul-Fiqhil-Akbar[9]:
“…dan demikian juga orang yang berpendapat bahawa Allah subhanahu itu suatu jisim, mempunyai suatu tempat, dilalui oleh suatu masa dan seumpamanya adalah kafir yang hakikat iman tidak sabit baginya”. Intaha.
Al-Shaykh ^Abdul-Ghani al-Nabulusi al-Hanafi (w. 1143 H) berkata dalam kitabnya al-Fathur-Rabbani wal-Faydur-Rahmani[10]:
“…dan adapun bahagian-bahagian kufur itu maka menurut syarak pembahagian kufur itu ada tiga bahagian yang dirujuk oleh semua jenis kufur[11] kepada pembahagian ini iaitu tashbih, ta^til dan takdhib… Dan adapun tashbih maka istilah ini bermaksud iktikad bahawa Allah taala menyamai atau menyerupai sesuatu dari makhluk-nya seperti mereka yang beriktikad bahawa Allah taala itu suatu jisim di atas Arasy atau mereka beriktikad bahawa Dia mempunyai anggota tangan… atau bahawa Dia di langit atau di suatu arah dari arah yang enam atau di suatu tempat dari sebarang tempat atau di semua tempat atau Dia memenuhi segala langit dan bumi… dan semua itu adalah suatu kufur yang jelas dan kita mengharapkan perlindungan dengan Allah taan”. Intaha.
Al-Shaykh al-^Allamah Muhammad Arshad ibn ^Abdullah al-Banjari berkata dalam kitabnya Tuhfatur-Raghibin[12] berkenaan golongan al-Mujassimah al-Mushabbihah:
“…(dan) setengah mereka itu iktikadnya bahawa Allah taala datang dan turun dengan zat-Nya serta bergerak dan berpindah daripada sesuatu tempat kepada suatu tempat (dan setengah) mereka itu iktikadnya bahawa allah taala duduk di atas Arasy (dan setengah) mereka itu iktikadnya bahawa Allah taala masuk pada Arasy dan Arasy itulah tempat kediaman-Nya (Shahdan adalah) perpegangan setengah kaum Mujassimah pada iktikadnya yang tersebut itu zahir (ayat) dan hadith yang mutashabih dan dinamai pula kaum Mujassimah itu Mushabbihah (Kata Imam Fakhrud-Din al-Razi) yang Mujassimah itu Mushabbihah dan Mushabbihah itu kafir (kerana) diithbatkannya bagi hak Allah taala berjisim dan akan jisim itulah yang disembahnya (Dan barangsiapa) menyembah jisim maka sanya jadi kafir…”. Intaha [dipindah dari tulisan jawi].
Al-Shaykh Zaynul-^Abidin ibn Muhammad al-Fatani yang masyhur dengan panggilan Tuan Minal Fatani berkata dalam kitabnya Irshadul-^Ibad ila Sabilir-Rashad[13]:
“…dan sanya telah banyak pada zaman ini beberapa manusia yang mendakwakan dirinya alim yang mengajar ia akan manusia yang awam dengan pengajaran yang salah dan beberapa iktikad dan rahsia yang menyesatkan hamba Allah dan setengah mereka itu yang berpegang dengan zahir ayat Quran yang mutashabihah atau Sunnah yang mutashabihah pada hal tiada dilentangkan dengan qawati^ ^aqliyyah dan naqliyyah yang muhkamat tetapi berpegang mereka itu dengan zahir ayat yang mutashabihah maka jatuh mereka itu di dalam laut kufur maka sesat mereka itu dan menyesat oleh mereka itu akan manusia yang awam maka adalah mereka itu seperti Dajjal atau terlebih jahat daripada Dajjal…”. Intaha [dipindah dari tulisan jawi].
Al-Shaykh al-^Allamah al-Muhaddith al-Faqih Abul-Mahasin Muhammad al-Qawuqji al-Tarabulusi al-Lubnani al-Hanafi (w. 1305 H) berkata dalam kitabnya al-I^timad fil-I^tiqad[14]:
“…dan barangsiapa berkata: “Aku tidak mengenal Allah itu sama ada Dia di langit atau di bumi” maka dia telah kafir kerana dia menjadikan salah satu daripada dua benda tersebut sebagai suatu tempat bagi-Nya”. Intaha.
Al-Shaykh Muhammad Zahid al-Kawthari – Wakilul-Mashikhah al-Islamiyyah di negara Khilafah ^Uthmaniyyah – (w. 1371 H) berkata dalam kitabnya Maqalatul-Kawthari[15]:
“Sesungguhnya pendapat yang menetapkan arah bagi Allah taala itu adalah suatu kekufuran di sisi para imam yang empat yang menjadi pemimpin hidayah umat sebagaimana yang dinukilkan oleh al-^Iraqi berdasarkan apa yang ada di dalam kitab Sharhul-Mishkah oleh [al-Mulla] ^Ali al-Qari”. Intaha.
Al-^Allamah al-Shaykh al-Muhaddith al-Hafiz al-Faqih ^AbduLlah al-Harari yang dikenali dengan gelaran al-Habashi (w. 1429 H) berkata dalam kitabnya al-Siratul-Mustaqim[16]:
“Dan kafirlah sesiapa yang beriktikad ada ruang bagi Allah taala atau beriktikad bahawa Allah adalah suatu seperti udara atau seperti cahaya yang memenuhi suatu tempat atau bilik atau masjid. Kita menamakan masjid sebagai rumah Allah bukanlah kerana Allah mendiami masjid, tetapi kerana masjid itu suatu tempat yang di dalamnya Allah disembah. Demikian juga kafirlah sesiapa yang berkata: “Allah mendiami hati para wali-Nya” jika dia memahami (ungkapan tersebut) dengan aqidah hulul. Mi^raj bukanlah bermaksud sampainya Rasul ke suatu tempat yang kewujudan Allah taala sampai padanya, dan kafirlah sesiapa yang beriktikad begitu. Tujuan Mi^raj hanyalah kemuliaan atau keraian buat Rasul sallaLlahu ^alayhi wa-sallam dengan mendedahkan kepada baginda tentang perkara-perkara ajaib di alam tinggi dan juga suatu pengagungan kedudukan baginda. Baginda melihat Zat Yang Maha Suci dengan hatinya tanpa Zat tersebut ada di suatu tempat”. Intaha.
[2] Al-Bayadi, Isharatul-Maram min ^Ibaratul-Imam, Mustafa al-Halabi, Kaherah, hlm. 200.
[3]Ibnul-Mu^allim al-Qurashi, Najmul-Muhtadi wa-Rajmul-Mu^tadi, manuskrip, National Library – Paris/ 638, hlm. 287 [akan dipaparkan pada suatu masa mendatang in sha' Allah].
[4] Al-Suyuti, al-Ashbah wan-Naza’ir fi Qawa^id wa-Furu^ Fiqh al-Shafi^i – lihat dalam Kitab al-Riddah – , al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, t.tp., hlm. 747.
[5] ^Abdul-Qahir al-Baghdadi, al-Farq baynal-Firaq, Maktabah Dar al-Turath, Kaherah, hlm. 227, 228.
[6] Abul-Mu^in al-Nasafi, Tabsiratul-Adillah fi Usulid-Din, t.pt. Damsyik, juz. 1, hlm. 169.
[7] Ibn Hajar al-Haytami, al-Minhajul-Qawim ^alal-Muqaddimatil-Hadramiyyah, Mua’assasah ^Ulum al-Qur’an, Damsyik, hlm. 224.
[8] Mulla ^Ali al-Qari, Mirqatul-Mafatih Sharh Mishkatil-Masabih, Dar al-Fikr, Beirut, juz. 3, hlm. 300.
[9] Mulla ^Ali al-Qari, Sharhul-Fiqhil-Akbar, Dar al-Kutub al-^Ilmiyyah, Beirut, hlm. 272.
[10] Al-Nabulusi, al-Fathur-Rabbani wal-Faydur-Rahmani, t. pt., Beirut, hlm. 124.
[11] Iaitu tiga jenis kufur: kufur iktikad, kufur perbuatan dan kufur perkataan.
[12] Muhammad Arshad al-Banjari, Tuhfatur-Raghibin fi Bayan Haqiqah Imanil-Mu’minin, Maktabah wa-Matba^ah Muhammad al-Nahdi wa-Awladih, Singapura – Jeddah, t. th., hlm. 17.
[13] Al-Shaykh Zaynul-^Abidin ibn Muhammad al-Fatani, Irshadul-^Ibad ila Sabilir-Rashad, al-Matba^ah al-Ahmadiyyah, Singapura, 1343 H, hlm. 3.
[14] Al-Qawuqji, al-I^timad fil-I^tiqad, cetakan dengan izin anak penulis, Kaherah, hlm. 5.
[15] Al-Kawthari, Maqalatul-Kawthari, Dar al-Ahnaf, Riyadh, hlm. 321.
[16] ^Abdullah al-Harari, al-Siratul-Mustaqim, Dar al-Mashari^ lit-Tiba^ah wan-Nashr wat-Tawzi^, Beirut, hlm. 26.
PERMATA YANG BERSINAR MENERANGKAN AQIDAH ISLAM YANG SEBENAR 6
Penjelasan
Bahawa Tidak Boleh Berkata: “Allah Di Setiap Tempat atau Di Mana-mana”
Al-Mutakallim al-Imam Ibn Furak al-Ash^ari (w. 407 H) berkata dalam kitabnya Mushkilul-Hadith[1]:
“Ketahuilah bahawa al-Thalji pernah berpegang dengan mazhab al-Najjar dalam pendapat bahawa Allah itu di setiap tempat, sedangkan ini juga mazhab al-Mu^tazilah. Takwil ini di sisi kami adalah suatu kemunkaran dari kerana tidak boleh dikatakan bahawa Allah taala itu berada di suatu tempat atau di setiap tempat”. Intaha.
Al-Mutakallim Ibn Furak berkata lagi[2]:
“Maka apabila mereka merujuk makna ungkapan itu kepada ilmu dan tadbir maka makna mereka itu sahih dan lafaz pula dilarang. Bukankah anda melihat bahawa tidak boleh mengungkap untuk berkata bahawa Allah taala itu bersebelahan di setiap tempat, atau bersentuhan dengan setiap tempat, atau meresap di setiap tempat, atau bertempat di setiap tempat dengan makna bahawa Dia mengetahui dan mentadbir setiap tempat?”. Intaha.
Al-Imam al-Hafiz Abu Bakr al-Bayhaqi al-Shafi^i al-Ash^ari (w. 458 H) berkata dalam kitabnya al-I^tiqad wal-Hidayah ila Sabilir-Rashad[3]:
وفيما كتبنا من الآيات دلالة على إبطال قول من زعم من الجهمية أن الله سبحانه وتعالى بذاته في كل مكان وقوله عز وجل: ((وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ)) إنما أراد به بعلمه لا بذاته
Maksudnya:
“Dan dalam ayat-ayat yang telah kami tulis itu ada suatu pendalilan bagi membatalkan pendapat daripada sangkaan golongan al-Jahmiyyah bahawa Allah subhanahu wa-ta^ala itu berada di setiap tempat dengan zat-Nya. Dan firman Allah ^azza wa-jall: وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ sebenarnya bermaksud dengan ilmu-Nya bukannya dengan zat-Nya”. Intaha.
Hujjatul-Islam al-Shaykh Abu Hamid al-Ghazali al-Shafi^i al-Asha^ari (w. 505 H) berkata bagi menyanggah Jahm ibn Safwan yang merupakan salah seorang daripada pemuka-pemuka ahli bidaah dalam kitabnya al-Arba^in fi Usulid-Din[4]:
“Dan jangan anda meragukan diri anda tentang beberapa tempat kesalahannya. Antaranya ialah kesalahan orang yang berkata bahawa Dia (Allah) itu di setiap tempat. Dan setiap orang yang menisbahkan-Nya kepada suatu tempat atau suatu arah maka dia telah menyeleweng dan sesat, dan kemuncak pandangannya merujuk kepada beralih dalam perkara yang dirasai oleh binatang, sedangkan Allah tidak ada kaitan dengan segala jisim dan perkara yang ada kaitan dengan jisim dan perkara-perkara yang berkaitan dengan jisim..”. Intaha.
Ibn Kathir (w. 774 H) berkata dalam kitabnya Tafsir al-Qur’anil-^Azim[5]:
“Ulama tafsir bersepakat bagi menginkar pendapat al-Jahmiyyah golongan pertama yang berkata – Allah maha suci dari pendapat mereka ini – bahawa Allah itu di setiap tempat”. Intaha.
Al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-^Asqalani al-Shafi^i al-Ash^ari (w. 852 H) dalam kitabnya Fathul-Bari[6]:
“Dan sesungguhnya hadis ini dipertikai oleh sebahagian golongan al-Mu^tazilah yang berkata bahawa Allah itu di setiap tempat, sedangkan ini suatu kejahilan yang nyata. Dan dalamnya – iaitu dalam hadis (إن أحدكم إذا قام في صلاته فإنه يناجي ربّه إن ربّه بينه وبين القبلة) – ada sanggahan ke atas sesiapa yang menganggap bahawa Dia di atas Arasy dengan zat-Nya”. Intaha.
Al-Shaykh ^Abdul-Wahhab ibn Ahmad al-Sha^rani berkata dalam kitabnya al-Yawaqit wal-Jawahir:
“Tidak boleh dikatakan bahawa Dia (Allah) taala itu di setiap tempat seperti yang dikatakan oleh golongan al-Mu^tazilah dan al-Qadariyyah”. Intaha.
Di sini pengingkaran ditegaskan setegas-tegasnya ke atas kaum Mu^tazilah dan Jahmiyyah yang berpegang dengan kalimah seperti yang dinaqalkan di atas. Penyelewengan aqidah seperti ini juga kita akan mendapatinya di dalam tulisan Sayyid Qutb iaitu dalam karangannya Fi Zilalil-Qur’an ketika mentafsir ayat 4 surah al-Hadid: (( وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ)) – [yang makna zahirnya: dan Dia bersama kamu di mana jua kamu berada] – dia berkata[7]:
“Dan ia suatu kalimah yang menurut hakikat bukannya menurut kinayah (sindiran makna) dan majaz (memaksudkan suatu makna daripada makna-makna yang pelbagai). Maka Allah subhanahu bersama setiap orang dan bersama setiap sesuatu pada setiap waktu dan di setiap tempat.”. Intaha.
[2] Ibid, hlm. 65 – 66.
[3] Al-Bayhaqi, al-I^tiqad wal-Hidayah ila Sabilir-Rashad, ^Alam al-Kutub, Beirut, hlm. 70.
[4] Al-Ghazali, al-Arba^in fi Usulid-Din, Dar al-Afaq al-Jadidah, Beirut, hlm. 198.
[5] Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’anil-^Azim, Dar al-Andalus, Beirut, jil. 3, hlm. 7.
[6] Ibn Hajar al-^Asqalani, Fathul-Bari bi-Sharh Sahihil-Bukhari, Dar al-Ma^rifah, Beirut, juz. 1, hlm. 508.
[7] Sayyid Qutb, Fi Zilalil-Qur’an, Dar al-Shuruq, jil. 6, juz. 27, hlm. 3481.
ustaz syafiq,
tlg kupaskan dgn apa yg ada dilaman ini:
http://alwajiz.site88.net/2009/07/aqidah-dimana-allah-menurut-4-imam-madzhab/
nampaknya 100% bercanggah tapi semuanya diambil rujukan dari ulama’ muktabar… mana satu hujah yg betul..?
By: siti on September 27, 2010
at 10:11 am
wajar. ahlul ahwa y menafsirkan dalil dengan hawa nafsunya, tafsir yang tidak ada salafnya sama sekali. allahul musta’an,,
By: abu muhammad on November 13, 2010
at 12:09 pm