http://bahrusshofa.blogspot.com/
Puak-puak anti-tahlil, walaupun terkenal taksub dan menjunjung tinggi Syaikh Ibnu Taimiyyah, tetapi dalam persoalan tahlil tidak menjadikan perkataannya sebagai panduan. Ini adalah kerana Ibnu Taimiyyah juga muridnya Ibnu Qayyim adalah termasuk ulama yang berfatwa bahawa pahala bacaan al-Quran, pahala amalan, pahala tahlil dapat dihadiahkan kepada arwah mereka-mereka yang telah meninggal dunia. Dalam himpunan fatwa yang dinisbahkan kepada Syaikh Ibnu Taimiyyah dinyatakan sebagai berikut:-
Dan ditanyai (Ibnu Taimiyyah) mengenai (hadits): “bertahlil 70,000 kali dan dijadikan hadiah (pahalanya) kepada orang mati, agar menjadi kelepasan bagi si mati dari api neraka”, adakah hadits tersebut shohih atau tidak? Dan apabila bertahlil seseorang dan dihadiahkan (pahalanya) kepada orang mati adakah pahalanya sampai kepada si mati atau tidak?
Maka dijawab (oleh Ibnu Taimiyyah):- Apabila bertahlil seseorang dengan yang sedemikian 70,000 atau kurang atau lebih dan dihadiahkan kepada si mati, Allah menjadikannya bermanfaat baginya dengan yang sedemikian itu. Dan hadits tersebut tidaklah shohih dan tidak juga dhoif (yakni tidak tsabit kedudukan hadits tersebut di sisi Ibnu Taimiyyah). Allahlah yang Maha Mengetahui.
Allahu … Allah, lihat ya ikhwah, bagaimana Ibnu Taimiyyah memfatwakan tahlil buat orang mati akan bermanfaat baginya. Jadi kenapa orang yang mengaku Ibnu Taimiyyah sebagai ulama besar mereka, panutan mereka, menjadi umpama “lebih sudu dari kuah” sehingga tidak dapat bertasamuh dengan kelompok majoriti yang mengamalkan amalan “itsal ats-tsawab” dengan bertahlil dan sebagainya. Kalau kamu tak emboh nak bertahlil, itu hak kamu, tapi jangan pula nak menceroboh hak kami untuk bertahlil, sampai tak sampai itu urusan Allah, bukan urusan kita.