Posted by: bankwahabi | Ogos 2, 2007

PENGERTIAN BID’AH DAN PEMBAHAGIAN BID’AH

 http://al-subki.com/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=73&Itemid=1

PENGERTIAN BID’AH DAN PEMBAHAGIAN BID’AH

Dalam kitab Mufradat al-Quran, al-Raghib al-Asfahani menyebutkan: Al-Ibda’ (الإِبْدَاعُ) bermaksud…

mewujudkan satu ciptaan tanpa peniruan dan ikutan (إنْشَاءُ صُنْعَةٍ بِلاَ احْتِذَاءٍ وَاقْتِدَاءٍ). Apabila perkataan itu digunakan (dikaitkan) kepada Allah Taala, maka ia bermaksud mewujudkan sesuatu tanpa alat, material, masa dan tempat. Pewujudan yang sedemikian rupa hanya bagi Allah sahaja.
Perkataan al-Badi’ (الْبَدِيْعُ) diguna pakai sama ertinya dengan perkataan al-Mubdi’(pencipta) (الْمُبْدِعُ). Contohnya seperti firman Allah :
بَدِيعُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ …
Terjemahan:
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) ……
(al-Baqarah : 117 / al-An’am : 101)

Perkataan ini juga diguna pakai sama ertinya dengan perkataan al-Mubda’ (yang dicipta) (الْمُبْدَعُ). Contohnya seperti perkataan rakiyyah badi’ (perigi buatan). Begitu juga perkataan al-bid’ (الْبِدْعُ) juga diguna pakai untuk maksud al-mubdi’ dan al-mubda’, iaitu digunakan berfungsi sebagai fa’il (فَاعِلُ) dan maf’ul (مَفْعُوْلٌ). Ayat al-Quran yang menyebutkan :

قُلْ مَا كُنْتُ بِدْعًا مِنَ الرُّسُلِ …
Terjemahan:
Katakanlah lagi: Bukanlah aku seorang Rasul pembawa agama yang berlainan dari agama yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang telah lalu) ……
(al-Ahqaf : 9)

Dikatakan bahawa ayat ini membawa pengertian: Aku bukanlah seorang mubdi’ (membawa perkara baru) yang tidak didahului oleh seorang rasul pun. Pendapat lain mengatakan: Aku bukanlah seorang mubdi’ (membawa perkara baru) dalam hal yang aku bicarakan.
Bid’ah dalam mazhab bermaksud: Mendatangkan satu pendapat di mana orang yang mengatakan pendapat itu atau mengamalkannya tidak mengikut pedoman yang dibawa oleh pembawa syariat (Nabi s.a.w), tidak mengikut contoh-contohnya yang terdahulu dan tidak mengikut prinsip-prinsipnya yang diyakini. Atas pengertian inilah diriwayatkan hadith:
” كُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِى الناَّرِ“

Terjemahan:
Setiap yang baru diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat dan setiap yang sesat berada di dalam neraka.

PEMBAHAGIAN BID‘AH

Ibn al-Athir menyebutkan dalam kitab al-Nihayah:

Bid’ah ada dua, iaitu bid’ah petunjuk dan bid’ah sesat. Bid’ah yang bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul-Nya maka ia berada dalam lingkaran tercela dan diingkari. Bid’ah yang termasuk dalam erti kata keumuman firman yang Allah galakkan serta digesa oleh Rasululullah s.a.w termasuk dalam lingkaran bid’ah yang terpuji. Bid’ah yang tidak ada contoh yang telah wujud seperti perbuatan baik, pemurah dan melakukan perkara yang makruf termasuk dalam lingkaran perbuatan-perbuatan yang terpuji. Tetapi perbuatan-perbuatan itu tidak harus bersalahan dengan ajaran yang dibawa oleh syarak. Ini kerana Nabi s.a.w telah menjadikan untuk perbuatan-perbuatan yang baik itu ada pahalanya. Baginda bersabda:
”مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً كَانَ لَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا“
Terjemahan:
Barang siapa yang mempelopori sunnah yang baik, maka dia memperolehi pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya.
Sebaliknya pula baginda bersabda:
”وَمَنْ سَنَّ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا“
Terjemahan:
Barang siapa yang mempelopori sunnah yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengamalkannya.

Sunnah yang buruk itu ialah apabila ia bercanggah dengan perintah Allah atau perintah Rasul-Nya.
Antara contoh sunnah yang baik ialah seperti yang dikatakan oleh Umar r.a: “نِعْمَتِ الْبِدْعَةُ هَذِهِ” (sebaik-baik bid’ah ialah yang ini) (iaitu bersembahyang tarawih secara berjemaah pada setiap malam di bulan Ramadan). Ini kerana amalan tersebut termasuk dalam lingkaran kebaikan dan perbuatan yang terpuji. Oleh kerana itu Umar menamakannya sebagai bid’ah dan memujinya. Ia (sembahyang tarawih berjamaah pada setiap malam) dinamakan bid’ah kerana Nabi s.a.w tidak menganjurkannya kepada mereka. Baginda hanya mengerjakannya beberapa malam, kemudian baginda meninggalkannya dan tidak bertekun memeliharanya serta tidak pula mengumpulkan orang untuk sama-sama berjemaah. Ia juga tidak berlaku semasa zaman Abu Bakar. Umarlah orangnya yang mengumpulkan manusia dan menggalakkan mereka ke arahnya. Kerana itulah Umar menamakannya bid’ah, sedangkan pada hakikatntya ia adalah sunnah, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:
”عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ مِنْ بَعْدِي“
Terjemahan:
Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku, dan sunnah khulafa’ al-Rasyidin selepasku.

Begitu juga sabda baginda s.a.w:
”اِقْتَدُوْا بِاللَّذَيْنِ مِنْ بَعْدِي أَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ“
Terjemahan:
Ikutlah dua orang yang selepasku iaitu Abu Bakar dan Umar.
Berdasarkan takwilan inilah difahamkan hadith yang menyebutkan: Setiap yang baru diada-adakan itu bid’ah.
Yang dimaksudkan oleh baginda (tentang bid’ah yang sesat) ialah: Setiap perkara yang bercanggah dengan prinsip syariat dan tidak sejajar dengan sunnah. Selesai nukilan daripada Ibn al-Athir.

Al-Fayyumi menyebutkan dalam al-Misbah:

Perkataan أَبْدَعَ اللهُ الْخَلْقَ إِبْدَاعاً (Allah menciptakan makhluk dengan sebenar-benar penciptaan) bermaksud Allah menciptakan mereka tanpa berdasarkan contoh. Apabila dikatakan أَبْدَعْتُ وَأَبْدَعْتُهُ ia bermaksud aku berusaha menerbitkannya dan baru mengadakannya. Berdasarkan ungkapan inilah dikatakan kepada keadaan yang bercanggah dengan nama bid’ah. Bid’ah ialah kata nama bagi nama terbitan ibtida’ (اِبْتِدَاعٌ) seperti perkataan rif’ah (رِفْعَةٌ) adalah kata nama bagi nama terbitan irtifa’ (اِرْتِفَاعٌ). Setelah itu ia banyak digunakan untuk maksud mengurangkan ajaran agama atau membuat penambahan. Namun sebahagiannya ada yang tidak makruh, lantaran itu ia dinamakan bid’ah yang harus. Bid’ah yang harus ialah yang terdapat bukti amalan sejenisnya pada prinsip syarak, atau amalan yang dilakukan kerana adanya kemaslahatan berbuat demikian demi mengelakkan mafsadah (kerosakan), seperti khalifah yang menghindarkan diri daripada bercampur gaul dengan orang ramai. Selesai petikan daripada al-Fayyumi.

Dalam al-Qamus al-Muhit dan syarahnya menyebutkan:

Perkataan bid’ah bererti perkara baru dalam agama setelah agama menjadi sempurna. Antara yang termasuk dalam pengertian ini ialah yang disebutkan dalam hadith:
”إِياَّكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ“
Terjemahan:
Awaslah kamu daripada perkara-perkara baru yang diada-adakan, kerana setiap yang baru diada-adakan adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.

Selesai petikan daripada al-Qamus al-Muhit.

Setelah menyebutkan definisi ini penghurai kamus terbabit menukilkan perbincangan tentang bid’ah dalam kitab al-Nihayah seperti yang telah disebutkan.
Berdasarkan keterangan yang lalu dapatlah disimpulkan bahawa setiap yang baru diada-adakan adalah bid’ah dari sudut bahasa dan syarak. Sementara bid’ah yang dimaklumi dari sudut syarak terbahagi kepada dua iaitu yang terpuji dan yang tercela.

Last Updated ( Thursday, 02 August 2007 )

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 31 other followers

%d bloggers like this: